Resepi Sambal Telur Ikan Bilis Dan Bebola Ikan
Dengar nama sambal je macam senang je kan nak masak tapi untuk mendapat rasa sambal yang betul-betul sedap bukan senang, ia mengambil masa yang agak lama untuk untuk mendapat rasa yang begitu sedap. Kadang-kadang apabila masak sambal terlalu cepat sebenarnya sambalnya kurang masak dan merupakan salah satu faktor yang boleh menyebabkan kita sakit perut, kerana cilinya tidak masak dengan betul.
Di sini saya akan ajar cara untuk memasak sambal dengan betul dan sambal yang sedap. Malah sambal ini juga boleh digunakan untuk bermacam jenis masakkan sambal jenis lauk yang lain. Saya seorang peniaga nasi lemak berlauk, apa yang saya makan, begitu juga akan saya sediakan untuk pelanggan saya.
Bahan-Bahan:
- Telur 10 butir (direbus dan dibuang kulit)
- Bebola ikan 12 ketul
- Ikan bilis 4 sudu besar
- Gula melaka 50gram
- Gula pasir 2 sudu besar ( ikut kemanisan yang disukai )
- Serbuk belacan 1 sudu besar atau 1/2 sudu kecil belacan kiub
- Garam (jika mahu)
- Serbuk Perasa knorr (jika mahu)
- Perahan air asam jawa (1-2 sudu besar)
- Minyak masak secukupnya
Bahan Kisar:
- Bawang besar – 5 biji
- Bawang putih – 6 ulas
- Cili kering segengam
Nota: Cili kering dibuang biji, direbus, dibasuh, ditoskan dan baru dikisar bersama bawang.
Cara Memasak:
1. Panaskan minyak, untuk menggoreng telur, minyak hendaklah betul-betul panas. Masukkan telur, masak sehingga 1-2 minit dan angkat. Tujuan goreng telur adalah untuk sambal cantik bersalut pada permukaan telur dan sambal telur pun susah nak basi. Kemudian, diikuti dengan menggoreng bebola ikan dan ikan bilis.
2. Menggunakan MINYAK YANG SAMA, minyak untuk memasak sambal semestinya banyak, baru sambal akan masak dengan sekata, dan tidak hangus. Jangan risau, lebihan minyak sambal nanti boleh disimpan untuk goreng mee, nasi goreng atau goreng telur.
3. Masukkan bahan yang telah dikisar dan masak sambal sehingga warna kemerahan. Untuk memasak sambal dengan sempurna, hendaklah mengunakan API yang sederhana dan masa untuk memasak sambal paling kurang 1 jam untuk dapat rasa tumisan sambal yang sedap. Lagi lama masa memasak sambal, lagi sedap sambal yang dihasilkan. Sambalnya susah nak basi dan boleh tahan berhari-hari jika masak dengan betul.
4. Apabila sambal sudah masak dan sedikit garing, masukkan perahan air asam jawa, serbuk belacan atau belacan, gula melaka dan gula pasir. Gaulkan sebati dan biarkan gula melaka cair, nanti sambal akan berubah jadi warna merah gelap. Jika anda lebih suka kepada sambal Manis, lebihkan sedikit gula pasir, ikut kemanisan sambal yang anda suka.
5. Apabila sambal sudah warna gelap dan cantik berkilau, bersinar barulah masukkan telur, bebola ikan dan ikan bilis yang digoreng tadi. Gaulkan rata dan siap (saya tak mengunakan sebarang sos atau kicap).
Nota: Jenis sambal ni, boleh juga untuk memasak sambal udang, sambal sotong, sambal ikan, sambal ikan bilis, sambal nasi lemak atau jenis-jenis sambal untuk mengoreng mee, kuehteow atau bihun. Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Nurul Ateekah