Resepi Puding Jagung Susu Guna Rice Cooker
Alhamdulillah.. Dapat membuat puding jagung gunakan rice cooker. Tak tahan nak berdiri lama-lama untuk kacau adunan selama 30 minit, seperti di resepi. Kalau nak masak atas dapor pun boleh, ikut seperti di resepi.
Jadi, kita letakkan rice cooker kat lantai. Selesalah nak mengacau, tak payah berdiri. Dah campur semua bahan dan bahan pun dah sebati, tekan butang COOK.
Terus kacau adunan dan dalam 10 minit pertama, adunan akan menjadi pekat sedikit. Angkat periuk yang ada adunan puding. Rice cooker akan ke mode WARM. Letakkan semula periuk adunan dan terus mengacau selama 10 minit lagi dalam mode warm.
Setelah 10 minit, tekan semula butang COOK. Terus mengacau adunan puding. Untuk 10 minit yang akhir ini, adunan akan menjadi semakin pekat. Kita nak adunan mendidih dan ada letup-letup kecil. Setelah itu, bolehlah, off suis rice cooker. Masukkan adunan ke dalam acuan/loyang pilihan.
Resepi Puding Jagung Susu
Bahan-Bahan:
- 1 cawan jagung manis (saya guna jagung tin sweet corn cream style)
- 1 cawan tepung kastard
- 1 cawan setengah gula (saya guna 1 cawan sahaja)
- 1/2 cawan susu pekat
- 4 1/2 cawan santan cair (saya guna 200ml santan kotak + 3 cawan air masak)
- Garam secubit rasa
Anda boleh kisar (jika mahu) jagung manis terlebih dahulu. Untuk sukatan santan cair pula, guna nibah 1:1 iaitu satu cawan santan pekat satu cawan air.
Cara Buat:
1. Dalam satu bekas, masukkan semua bahan dan kacau sebati dahulu. Barulah dimasukkan ke dalam periuk dan dipanaskan dengan api kecil sahaja. Sentiasa kacau 2-3 minit untuk elakkan lapisan puding berketul.
2. Untuk sukatan di atas, biasanya masa memasak memakan masa hampir 30 minit. Ingat kacau sentiasa untuk lapisan puding jagung yang licin ya. Bila dah mendidih masak, tutup api dan terus tuang ke dalam loyang. Jangan tunggu sejuk nanti tak cantik.
3. Ratakan dan tekan sedikit permukaan puding di dalam loyang. Sejukkan hampir 3 jam dan boleh dipotong. Untuk lagi sedap, masukkan dalam peti sejuk.
4. Anda boleh alas loyang dengan plastik sebelum adunan puding jagung dimasukkan untuk elakkan melekat. Untuk potong puding pula, gunakan pisau plastik yang telah disapu sedikit minyak masak. Tips ini akan hasilkan potongan puding yang cantik dan kemas.
Tips untuk dapatkan puding jagung kastard yang licin dan menawan adalah:
- Semasa memasak adunan, gunakan api kecil sahaja dan sentiasa kacau adunan untuk elakkan berketul-ketul. Jangan guna api besar nanti hangit pada lapisan bawah puding.
- Cara untuk pastikan adunan puding ini telah masak, bila buih kecil terbentuk dan bila anda kaup balik bancuhan puding, ianya jatuh lambat seperti berketul pada permukaan senduk. Tapi jika jatuh laju dan seperti bertali, adunan puding anda masih belum masak.
Terima kasih kepada Puan Zurinanuar Ina atas resepi puding jagung susu guna rice cooker yang mudah dan sedap ini.

Resepi Oleh: Suriea Mohd Noor