Resepi Pau Kacang Merah Lembut dan Sedap
Hai kawan kawan semua. Seperti yang dijanjikan, dan setelah banyak maklum balas yang diterima, Amoijamu sangat teruja untuk berkongsikan salah satu juadah Dim Sum yang terkenal iaitu Pau Kacang Merah. Kegemaran setiap orang terutamanya dikalangan kanak-kanak, tidak juga dikecualikan orang dewasa juga. Ini adalah kegemaran anak-anak dan saya juga. Jadi memang ibu ini giat buat Pau dan juga terbuka hati untuk kongsikan resepi keluarga kami ini.
Bahan-Bahan:
- 200g Tepung Hong Kong/Hong Kong Flour
- 70g Wheat Starch (Tang Mien Flour)
- 45g Gula Icing
- 1/4 sudu teh Baking Powder
- 1 paket Yeast Segera
- 140ml Air suhu bilik
- 1 sudu besar Minyak Masak
Cara Pembuatannya:
1. Sebelum memulakan pembuatan pau, sediakan terlebih dahulu inti kacang merah dengan anggaran 40g sebiji dan ulikan menjadi bentuk bebola.
2. Satukan tepung Hong Kong, tepung Wheat Starch (Tepung Tang Mien), Gula Icing, Baking Powder, Yeast dan air ke dalam mangkuk. Uli sehingga kesemua bahan sebati dan tidak melekat pada mangkuk.
3. Alihkan doh pau ke atas papan dan tuang minyak masak ke atas doh sambil uli. Uli menggunakan pergelangan tangan selama 8 ke 10 minit sampai doh menjadi kering, lembut dan licin pada permukaan.
4. Tekan sedikit untuk memastikan doh boleh pantul balik bermaksud doh sudah siap dan boleh direhatkan. Telangkupkan mangkuk dan rehatkan doh selama 8 ke 10 minit pada suhu bilik.
5. Selepas 10 minit, uli doh untuk mengeluarkan angin dan sukatkan setiap doh dalam anggaran 50g sebiji. Tutup dengan kain supaya doh tidak kekeringan.
6. Uli setiap biji dan bentukkan sebelum diisi dengan inti kacang merah. Susun doh yang telah diuli diatas kertas baking paper atau kertas cupcake dan susun elok dalam periuk pengukus.
7. Rehatkan selama 30min sebelum mengukus. Sementara menunggu pau, panaskan air dalam periuk sehingga mendidih dan mengelegak. Selepas 30 minit, kukuskan pau selama 12 minit.
8. Selepas 12 minit, padamkan api dan biarkan pau kita rehat selama 10 minit sebelum membuka penutup. Langkah ini adalah untuk mengelak perbezaan suhu yang ketara yang akan menyebabkan pau kita terbantut atau kulit menjadi kedut.
9. Selepas rehat selama 10 minit, pau kita sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Amanda Tan