
Resepi Nasi Dagang Beras Biasa Dan Gulai Ikan Tanpa Tumis
Disebabkan kehabisan stok beras Nasi Dagang di rumah. Lz cuba nak buat juga gunakan beras biasa. Dan Nasi Dagang warna putih ni dikatakan sangat sinonim di Negeri Terengganu berbanding dengan Nasi Dagang di Kelantan yang mana guna beras khas warna perang.
Jadinya menu iftar petang semalam kita pulun lah buat Nasi Dagang tambah Lz dapat rempah gulai ikan dari sahabat di Terengganu beberapa bulan lepas. Baru ada kesempatan nak cuba, dan stail kali ni Lz tak tumis. Kuah pun lebih pekat dan tak berhenti suami dan anak-anak menyuap kuah gulai kali ni!.
Bahan-Bahan Untuk Nasi:
- 1 cawan santan pekat
- 1 cawan santan cair
- 1-2sb Halba
- 1 inci halia – hiris halus
- 6 ulas bawang putih – hiris halus
- 2 biji bawang besar – hiris halus
Ratio sukatan beras yang betul;
4 cawan beras biasa : 1 cawan beras pulut
Cuci bersih, rendam 2 jam. Lagi elok rendam semalaman, esok pagi mula kukus.
Cara Memasak Nasi:
1. Mula-mula kukus beras tadi selama 20 minit. Kemudian angkat dan alihkan dalam bekas. Curahkan santan cair sedikit demi sedikit sehingga santan meresap dalam beras tadi. Gaul rata dan kukus lagi 20 minit.
2. Selepas itu, angkat nasi, masuk ke dalam bekas. Kali ini curahkan santan pekat dan letak halba. Kukus balik selama 10 minit. Kemudian, angkat semula ke dalam bekas dan gaulkan dengan hirisan bawang dan halia tadi. Tujuan kita lewatkan step yang ini supaya bawang dan halia kita tak terlalu lembik nanti. Sambung lagi kukus selama 10 minit. Siap.
Bahan-Bahan Untuk Gulai Ikan:
- 2 ekor ikan tongkol (aye) saiz sederhana. Cuci bersih, susun dalam periuk. Letak asam keping dan taburkan garam. Rebus hingga empuk. Seeloknya rebus malam untuk masak esok pagi. Isi lebih lembut dan manis.
Bahan Kisar –
- 4 tangkai lada kering
- 1inci halia
- 1inci lengkuas
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
Bahan Lain –
- 1 keping gula Nise
- Beberapa tangkai cili padi
- 2 keping asam keping
- 2 sb Rempah gulai nasi dagang
- Santan pekat secukupnya
Cara Memasak Gulai:
1. Mula mula panaskan santan pekat hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan terus bahan kisar serta masukkan rempah gulai. Masukkan ikan rebus tadi, asam keping, nise dan cili padi tadi. Ambil sesenduk air rebusan ikan tadi untuk tambah rasa manis ikan pada kuah gulai kita.
2. Rebus dengan api kecil, biarkan mendidih dan kuah menjadi pekat. Perasakan gula dan garam secukupnya. Kuah gulai ni sedap rasa manisnya lebih. Cukup pekat, boleh letakkan telur rebus (optional). Dah pekat boleh tutup api.
Bahan dan Cara Buat Acar:
- Timun
- Lobak
- Lada besar
- Bawang
Hiris memanjang. Letak secubit garam, 1 sb gula dan renjiskan cuka secukupnya. Gaul rata, siap.
Resepi Oleh: Mizah Ngatiman