Resepi Mudah Bihun Goreng Kampung
Faa suka masak bihun goreng kampung. Sebab faa masak bihun goreng biasa atau merah atau kicap mesti kurang sedap. Kalau orang lain masak sedap dan mesti bertambah faa makan, lelagi Ummi yang goreng bihun tu. So bihun goreng kampung ni je laa yang kalau faa masak, makan bertambah. Ada pulak kepok keping dengan air lada atau makan dengan telur mata, tambah cili kicap. Fuhhh. Terangkat.
Bahan-Bahan:
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 2 sudu besar ikan bilis
- segenggam cili api
- air secukupnya
- 1 cawan minyak masak
- 2 biji telur
- 1/2 biji kobis kecil (hiris)
- 1/2 kg udang
- garam dan gula secukup rasa
- 1 sudu kecil cuka
- sedikit serbuk perasa
- sebungkus bihun (rendam dalam air sejuk 1/2 jam, bilas dan toskan)
Cara Memasak:
1. Kisar bawang besar, bawang putih, ikan bilis, cili api dan sedikit air. Panaskan minyak, tumis bahan kisar sampai garing dan pecah minyak.
2. Masukkan telur, biar beberapa saat dan kacau perlahan. Tambah kobis dan udang. Kacau sehingga udang berubah warna merah.
3. Tambah air secukupnya. Kacau rata, perasakan dengan garam, gula, cuka dan serbuk perasa. Kacau dan biar mendidih.
4. Bila udang dah masak, masukkan bihun dan kacau sehingga sebati. Jika air dah kering, bihun belum masak, tambah sedikit air panas dan kacau lagi. Ulang sikit demi sikit sehingga bihun lembut dan masak sekata.
5. Kacau semua bahan sehingga sebati, bila dah masak, tutup api. Siap untuk dihidangkan.
Resepi Oleh: Dapurfaafeefoo