Resepi Masakan Thai Daging Kari Massaman

Resepi Masakan Thai Daging Kari Massaman

Serba sedikit tentang asal usul Rempah massaman. Apa itu Kari Massaman?. Kari Massaman adalah Kari Thai yang kaya dengan rasa dan tekstur yang lembut. Pada awalnya dibawa oleh pedagang Muslim dari benua kecil India dan Kepulauan Melayu sebagai hidangan gabungan dan biasa digunakan untuk membuat rempahnya. Kari Massaman ini terkenal dalam masakkan Thailand dan juga muncul sebagai Chef’s Special dihampir setiap restoran Thailand.

Untuk memasak Kari Thai ini mengambil masa yang lama supaya dagingnya empuk serta aroma dan rasa kari tadi dapat menyerap ke dalam isi daging lembu tersebut. Daging lembu menjadi pilihan kebiasaan dalam masakkan Kari Massaman. Ini kerana daging lembu mempunyai tekstur lemak dan serat yang sesuai dengan Kari Massaman. Selain daripada daging lembu, daging kambing juga boleh digunakan. Bukan itu sahaja, malah ayam dan itik juga boleh digunakan dalam masakkan ini. Sememangnya masakkan kari massaman (Thai) ini mempunyai rasa dan keunikannya tersendiri dan sudah menjadi kegemaran kami sekeluarga.

Bahan Untuk Membuat Rempah Massaman:

  • 1 biji nutmeg atau buah Pala kering *
  • 4 biji buah pelaga *
  • 10 biji Bunga cengkih *
  • 1 sudu besar pappercorn *
  • 4 biji Bunga lawang *
  • 1 sudu kecil jintan putih *
  • 2 sudu kecil biji ketumbar *
  • 1 batang kayu Manis (dipecahkan) *
  • 1 sudu besar udang kering *
  • 10 batang cili kering *
  • 1/2 biji bawang besar
  • Halia 30gram
  • 1/2 inci lengkuas
  • 2 batang serai
  • 10 ulas bawang putih
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 cawan minyak masak

Cara Membuat Rempah:

1. Sangai bahan yang bertanda (*) sehingga naik bau (10-15 minit dengan api yang kecil) dan kisar KERING untuk jadikan sebuk.

2. Sangaikan, bawang besar, bawang putih, serai, lengkuas, dan halia. Masak sehingga kekuningan dan sehingga layu. Tutup api dan kisar kering bahan serta tambah 3 sudu air.

3. Campurkan kedua-duanya dan kisar dengan minyak serta masukkan garam. Bila dah siap jadi paste, masukkan dalam bekas tertutup.

Resepi Masakan Thai Daging Kari Massaman

Bahan Untuk Memasak Kari Daging Massaman:

  • 1 kilo daging (potongan saiz sederhana)
  • rempah massaman (kesemuanya)
  • 2 ketul gula melaka/palm sugar
  • 3 helai daun salam
  • ½ cawan sos ikan
  • 6 sudu besar kacang santong atau kacang tanah (disagai atas api)
  • 1 biji kentang (dibelah 6 atau 8)
  • 1 biji bawang besar atau bawang holland (dibelah 6)
  • 1 kiub daging
  • 2 kotak kecil santan + 400ml air (Campurkan)
  • 2 cawan santan krim
  • 1 sudu besar air asam jawa
  • Minyak masak secukupnya

Nota: Kalau nak guna santan segar, pastikan 5 cawan santan tidak perlu tambah air.

Cara Memasak:

1. Di dalam kuali, panaskan 2 cawan krim santan dan masukkan rempah massaman. Dengan api yang sederhana, masak rempah sehingga pecah minyak dan kemerahan. Kemudian, angkat dan ketepikan seketika.

2. Di dalam kuali yang sama, masukkan santan dan daging. Dengan api yang sederhana, masak selama 30 minit, sambil-sambil kacau.

3. Seterusnya, masukkan semula rempah massaman yang sudah dimasak tadi berserta gula melaka, kentang, asam jawa dan daun salam. Gaul sebati dan biarkan masak sehingga daging empuk serta kuahnya pekat kering. Anggaran memasak dalam 1 jam 10 minit, masak dengan api yang perlahan.

4. Kemudian masukkan kiub daging dan sos ikan. Gaul semua bahan sehingga sebati. Akhir sekali, masukkan bawang dan kacang santong. Gaul sebati dan masak seketika (10 minit). Siap untuk dihidang bersama nasi.

Resepi Masakan Thai Daging Kari Massaman

Resepi Oleh: Nurul Ateekah