Masakan Barat

Resepi Lasagna Citarasa Tempatan

resepi-lasagna-citarasa-tempatan

Resepi Lasagna Citarasa Tempatan

Resepi Lasagna ni hasil olahan saya sendiri untuk jualan. setakat hari ini, lasagna ni memang menjadi idaman kalbu penggemar lasagna. Rasa dia saya olah ikut citarasa pantai timur + utara.

Mesra anak-anak sebab tak ada rasa pedas langsung dan yang suka pedas, boleh tambahkan serbuk lada hitam atau pun serbuk cili dalam ramuan dia nanti, banyak mana ikut tahap kepedasan sendiri.

Bahan Utama Lasagna:

1. Lasagna Sheet (beli jenama tesco boleh, san remo pun boleh). Kena rendam dulu lebih 5 jam bagi lembut sheet dia tu, nak rendam pun kena ada skill, jangan bertindih-tindih nanti dia melekat. Jangan dimasak kalau tak nak jaga sebab dia kena sekeping-sekeping, masak nanti dia senang nak melekat antara satu sama lain. Perlu rendam bagi betul-betul lembut jika tak nak makan lasagna kulit kayu nanti.

2. Keju Mozarella siap parut.

Bahan Sos Merah:

  • Sos Spageti 1 botol (jenama kimball, tesco, prego, atau apa-apa jenama pun boleh asalkan sos spageti)
  • Sos tomato/tomato puri 1 botol
  • Daging kisar (400gm) atau isi ayam cincang (500gm)
  • Bawang besar holland cincang halus – 1 biji saiz penumbuk dewasa
  • Bawang putih – 6 ulas ketuk hancur (letak banyak untuk hilangkan bau daging kisar)
  • Serbuk oregano

Cara Masak Sos Merah:

1. Panaskan mentega atau marjerin, masukkan bawang putih, tumis sehingga naik bau. Masukkan bawang besar cincang, tumis-tumis sedikit, masukkan daging kisar atau ayam cincang.

2. Masak daging atau ayam sehingga betul-betul kering air dan masak elok. Masukkan sos tomato atau tomato puri, kacau rata dan masukkan sos spageti, tambah serbuk oregano.

3. Kacau dan perasakan dengan gula atau garam sesedap lidah dan tekak kita sendiri ya bukan org lain sebab nanti yang nak makan kita, jadi penting di situ rasa tu ada manisnya, ada masinnya.

4. Kalau konfius lagi dengan rasanya, letak sesudu kecil maggi cukup rasa. Reneh sos sehingga agak kering airnya, jika nak basah, reneh sos lama sedikit dan biarkan berkuah pekat sedikit. Siap sos merah.

Bahan Sos Putih:

  • Mentega/marjerin
  • Tepung gandum – 2 sudu
  • Susu segar full cream – 1 liter
  • Sos carbonara prego – 1 tin kecil

Cara Masak Sos Putih:

1. Panaskan mentega atau marjerin, masukkan tepung gandum dan kacau hingga tidak berketul. Masukkan susu full cream 1 liter sambil kacau agar tidak berketul-ketul.

2. Setelah agak mendidih, masukkan sos prego tadi. Kacau rata sehingga betul-betul masak dan mendidih. Perasakan dengan maggi cukup rasa sahaja, tak perlu garam atau gula. Siap sos putih.

Cara Melapis Lasagna:

1. Susun kepingan lasagna didasar loyang besi atau aluminium atau bekas mesra oven. Tuang rata sos merah sehingga memenuhi semua ruang bekas dan menyaluti kepingan lasagna tadi. Lapis nipis sahaja.

2. Lapis pula dengan sos putih di atas sos merah tadi, lapis nipis sahaja. Kalau modal besar dan suka sangat keju, tabur atas sos putih tadi, sedikit sahaja.

3. Kemudian ulang pula lapis kepingan lasagna atas sos tadi dan ulang letak sos merah, sos putih, dan cheese. Berapa lapis tu terpulang atas kita, suka banyak lapis, buatlah ulang-ulang sampai jadi tiga empat lapis.

4. Pastikan lapisan last paling atas, letak sos putih tebal sedikit dan mozarella tabur sampai penuh dan banyak-banyak sebab nanti getah cheese tu berlapis-lapis dan banyak baru sedap.

5. Bakar pada suhu 200c selama 45 minit atau sehingga keju atas nampak garing dan mencair sepenuhnya. Siap resepi lasagna citarasa tempatan.

Resepi Lasagna Citarasa Tempatan

Resepi Oleh: Su Sunnah