
Resepi Kuih Talam Keju Oreo Vanila
Assalamualaikum. Sekali lagi saya nak berkongsi resipi di hari Jumaat yang penuh keberkatan ini. Peminat cheese, kuih talam & makanan hipster harus mencubanya. Ini juga salah satu jenis kuih yang ada untuk fast sale saya nanti. Ianya mengandungi santan segar & krim keju. Jangan ditanya kenapa harganya sama seperti sepotong kek/brownies.
Resipi ni saya dah olah dari resipi asal. Dalam resipi asal, bahagian kastard tidak mengandungi serbuk koko & berada di lapisan atas. Saya sertakan resipi hasil olahan saya untuk memudahkan saya membuat rujukan. Tidak lupa juga kredit kepada pemilik asal resipi, penulis buku masakan, Pn. Zubaidah Che Pa. Semoga bermanfaat.
Bahan-Bahan (Loyang 6×6 inci):
Lapisan Bawah –
- 100g krim keju
- 5 1/2 sdb susu pekat
- 1 biji telur (B/C)
- 10g tepung gandum
- 1/2 sdb tepung jagung
- 1/2 sdt perisa vanila
- Serbuk biskut Oreo
Lapisan Tengah –
- 80g santan
- 80ml air
- 1 biji telur (B/C)
- 35g gula
- 20g tepung kastard
- Secubit garam
- 1/4 sdt emulko coklat
- 1/2 sdb serbuk koko + 1 1/2 sdb air panas (bancuh)
Lapisan Atas –
- 80g santan
- 80ml air
- 1 biji telur (B/C)
- Secubit garam
- 35g gula
- 30g g tepung gandum
- 1/2 sdt perisa vanila
- 1/2 sdt pewarna biru
Cara Penyediaan:
1. Lapisan bawah; Pukul krim keju, susu pekat dan telur hingga sebati. Masukkan kesemua bahan kecuali serbuk Oreo. Kacau rata. Masukkan adunan ke dalam loyang. Taburkan serbuk biskut Oreo dan kukus selama 8-10 minit.
2. Lapisan tengah; Campurkan kesemua bahan dan kacau rata. Masak dengan api sederhana sehingga naik wap. Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 8-10 minit.
3. Lapisan atas; Campurkan kesemua bahan dan kacau rata. Masak dengan api sederhana sehingga naik wap. Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 20-25 minit. Sejukkan dan potong dengan pisau plastik.
Nota:
- Tapis adunan setiap kali hendak mengukus jika adunan bergentel.
- Gandakan adunan 2 kaliuntuk loyang 8×8 inci & 2.5x untuk loyang 10×10 inci.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah