Ikan, Makanan Laut

Resepi Gulai Kuning Kepala Ikan Merah

resepi-gulai-kuning-kepala-ikan-merah

Resepi Gulai Kuning Kepala Ikan Merah

Ayah paling suka gulai ni. Semua anak-anak dia tahu. Dan beginilah cara tradisi keluarga Afy menikmati kepala ikan merah. Pekena dengan ulam budu lagi laju kami makan bertambah.

Bahan dan Cara Masak:

1 ekor kepala ikan merah diperap dengan garam halus secukup rasa. Perapan seeloknya semalaman (kurangkan garam kerana masa perapan lama).

Simpan dalam peti bahagian bawah. Jika tidak, biarkan ia diperap sekurang-kurang 4 jam sebelum digulai.

Sediakan santan segar. Cikgu beli je kelapa parut saiz kecik. Lepas tu kisar dengan air(Sukatan air – masukkan sehingga menutupi takat kelapa parut. Lebihkan air 1 ruas jari lagi). Tuang dalam penapis teh (kain). Perah kelapa sehingga hampas kering (tak perlu tambahkan air lagi).

Bahan Kisar;

  • 3 biji bawang merah saiz bola pingpong/tenis
  • 1 ulas bawang putih
  • 2 hiris lengkuas
  • 1 tangkai cili padi

Kisar bahan ini bersama sedikit santan tadi.

Satukan bahan kisar bersama santan segar yang telah dimasukkan dalam periuk. Buka api paling perlahan sahaja.

Masukkan 3/4 sudu kecil serbuk kunyit atau secukup warna. Jangan terlebih. Nanti warna kuningnya makin menyerlah. Lebih sedap jika guna kunyit asli.

Masukkan pula 1 keping asam gelugur. Diikuti 3/4 sudu besar cili kering kisar.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Ikan Pari Bakar dengan Air Asam Bunga Kantan

Masukkan perasa;

  • 1 1/2 sudu kecil garam
  • 1 1/2 sudu besar gula
  • 1/2 sudu kecil perencah Hilal

Segala kuantiti terpulang kepada citarasa sendiri. Selalu kacau kuah gulai supaya tidak berketul dan tidak pecah minyak. Gunakan api sederhana perlahan sahaja.

Setelah kuah mula mendidih, masukkan kepala ikan yang telah diperap tadi. Biarkan ikan masak. Kacau kuah sesekali.

Boleh masukkan beberapa tangkai cili dan kacang panjang yang dipotong untuk menaikkan warna sebelum api ditutup. Siap untuk dihidangkan. Selamat mencuba!

Resepi Gulai Kuning Kepala Ikan Merah

Resepi Oleh: Afy AL Habibi