Resepi dan Tip Buat Ayam Goreng Rangup Juicy
“Sedapnya ayam goreng daddy“ terbit pujian berulang kali dari anak Ben umur 6 tahun. Syukur Alhamdulillah dengan izin Allah berjaya Ben buat ayam goreng tepung yang ada tempat dia sendiri. Dan Ben janji nak bagi pada semua kenalan media sosial dengan tips penuh resepi lengkap. Mari baca dengan tenang sebelum ikuti satu persatu langkah dan Ben izinkan halalkan ilmu ini. Cuma kalau tak keberatan, komen dan share post ini supaya lebih ramai dapat manfaat.
1. Pertama sekali sediakan tepung salutan untuk ayam. Ini pedas minima hasil dia.
- 1 kg tepung gandum cap Sauh
- 80 gram tepung beras Erawan 3 gajah
- 40 gram tepung jagung cap Windmill
- 40 gram tepung kek (tepung halus bukan self raising flour)
- 15 gram garam pink kristal Halalgel
- 30 gram serbuk perasa cap Hilal
- 10 gram serbuk bawang (onion powder) cap Meriah
- 10 gram serbuk lada putih
- 15 gram serbuk pati ayam
- 10 gram serbuk cili cap Babas
- 5 gram baking powder cap Sinaran
2. Satukan dalam bekas besar bertutup. Senang nak buat kerja dan nak simpan untuk kegunaan akan datang.
3. Bersihkan 1 ekor ayam berat 1.5 – 1.7 kilogram. Ayam boleh dipotong 10 – 12 ikut suka. Buang semua jenis darah pekat, lemak dan cucuk-cukuk dengan mata pisau supaya perapan masuk ke dalam isi.
4. Basuh dan tos ayam. Biar air ayam turun dulu. Barulah masukkan dalam bekas dan sediakan bahan perapan. Semua ini disukat dengan sudu penyukat.
- 1/2 sdm bwg putih kisar (kisar pekat dulu bawang putih baru ambil)
- 1/2 sdm garam pink kristal cap Halalgel
- 1/2 sdm serbuk bawang cap Meriah
- 1/2 sdm gula Prai Hijau
- 4 sdm tepung salutan tadi
5. Gaul biar masuk celah-celah isi semua. Perap selama 30 minit – 24 jam jika suka. Dah selesai perap, masa untuk menggoreng.
- Sila sediakan air ais (air + ais) yang bolehkan ayam direndam
- Sila sediakan bekas kosong, bekas tos.
- Sila sediakan periuk tebal/bekas deepfried atau sebagainya. Panaskan minyak yang bolehkan ayam tenggelam. Sewaktu mula panaskan minyak untuk mencapai suhu 160C, waktu untuk salut ayam.
6. Ayam yang diperap terus letak 5 dalam bekas tepung. Jangan rapat nanti melekat. Kaut tepung dan letak atas untuk menutupi kawasan lembab. Sambil salut sambit picit-picit tepung ke seluruh kawasan ketulan ayam.
7. Ketuk pada dinding bekas dan letak dalam bekas jarang/bekas tos. Ulang sehingga selesai 1 batch gorengan (5 ketul tadi).
8. Bekas tos yang mengandungi 5 ketul ayam ini direndam 10 saat dalam air ais dan selepas itu dimasukkan kembali dalam tepung dan disalut semula ikut cara sebelum ini. Picit-picit tepung bagi bersalut rata dan tidak terlalu tebal. Dah semua disalut tepung, ketuk ayam pada dinding supaya lebihan tepung turun.
9. Bila periuk dah capai suhu 160C, masukkan 5 ketul ini dan terus tutup periuk dengan tudung. Pastikan ayam terendam dalam minyak. Kenapa? Untuk dapatkan tekstur garing rangup di bahagian luar, juicy di bahagian isi (ada sedikit tekanan dalam periuk bila ditutup) dan tidak hangus.
10. 15 minit tempoh gorengan pada suhu ini. Walaupun suhu awal tadi 160C, selepas dimasukkan 5 ketul ayam, suhu akan turun 130C lebih kurang. Jangan risau takde masalah. Tutup pada periuk
Minit ke 8, buka tudung periuk dan tembak suhu.
11. Pastikan suhu 145 – 150C. Kalau belum capai, besarkan sedikit api. Biarkan lagi 7 minit tutup periuk dan ingat jangan pastikan suhu sesekali melebihi 160C.
12. Untuk juicy, pastikan ayam terendam sepenuhnya dalam minyak. Kebiasaan 2 minit nak masak, ayam sudah terapung. Boleh angkat dan toskan. Hasil dia? Ada tempat di hati anak-anak, ahli keluarga yang makan. Sangat sedap.
Ini Ben berikan ilmu penuh sebagaimana yang Ben buat. Kalau akak abang ikut satu persatu, akan dapat hasil ayam yang juicy masak, isi lembut tepung luar rangup. Jika gunakan ayam saiz 1.5 – 1.7 kg dipotong 10 maka inilah tetapan suhu dia dan sebagainya. Kalau potong kecik, isi ayam akan jadi overcook.
Baki tepung salutan, akak ayak dan buang tepung yang berketul. Dah boleh simpan dan guna semula. Senang. Insyaallah jika akak dah baca sampai sini, sila komen dan kongsi ya sebagai tanda terima kasih.
Kalau Nak Cepat, Boleh Guna Tepung Goreng Segera Ni. Sedap Juga Rasanya >> KLIK DI SINI

Resepi Oleh: Ben Safwan


