Resepi Bubur Som Som Pandan
Sirap Gula Melaka
Bahan-Bahan:
5 ketul gula melaka (anggaran 250 gm)
500-600 ml air
2 helai daun pandan
Caranya:
1. Gula melaka dihiris halus.
2. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan dengan api yang sederhana, masak hingga mendidih dan gula melaka larut.
3. Tapis ke dalam mangkuk dan biarkan sejuk.
Adunan Bubur
Bahan-Bahan:
1 cawan tepung beras
1 cawan tepung jagung
2 kotak kecil santan KARA
8 cawan air
Garam secukup rasa – jangan banyak sangat nanti masin
15 helai daun pandan
Caranya:
1. Di dalam sebuah bekas, satukan santan dan air. Kacau rata. Ketepikan.
2. Bersihkan daun pandan. Kemudian gunting kecil-kecil selebar 2 inci. Masukkan ke dalam blender. Ambil 1 cawan santan yang kita dah sukat tadi. Tuangkan ke dalam blender dan kisar hingga halus. Tapiskan ke dalam bekas sambil hampas daun pandan diperah sekali untuk diambil cecairnya.
3. Tapis sekali lagi ke dalam bekas yang berisi santan tadi dan kacau rata.
4. Satukan tepung beras dan tepung jagung. Masukkan sedikit-sedikit ke dalam adunan santan dan kacau rata dengan hand whisk. Tuangkan adunan santan ke dalam periuk non-stick. Bubuhkan garam secukup rasa.
5. Masak dengan api yang sederhana kecil. Kacau selalu dengan senduk kayu hingga adunan nampak pekat dan berkilat.
6. Bila adunan dah mula meletup-letup, kacau sekejap kemudian tutup api. Adunan jangan terlalu pekat sangat nanti jadi keras bila dah sejuk.
7. Tuangkan ke dalam bekas atau acuan kecil-kecil. Biarkan sejuk. Bila dah sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. Hidangkan bersama sirap gula melaka.
Nota:
1. Bubur Som Som ini sedap dimakan sejuk-sejuk. Boleh juga dihidangkan ketika panas-panas atau suam. Terpulang pada citarasa masing-masing ya.
2. Kalau tak nak gunakan daun pandan, boleh gantikan dengan pandan paste & pewarna hijau. Saya tak letak pewarna hijau, hanya daun pandan semata.
3. Kalau nak buat Bubur Som-Som yang putih, masukkan daun pandan ke dalam adunan bubur. Buangkan daun pandan sebelum dituangkan ke dalam bekas untuk disejukkan.
4. Kalau nak buat sirap gula putih, didihkan gula pasir dan air bersama daun pandan. Ada juga yang letak kayu manis. Berapa banyak gula dan air terpulang pada citarasa masing-masing.
+ Asalnya, bubur Som-Som memang berwarna putih dan sirapnya juga dari gula pasir cuma warnanya tak menarik je.
Mesti Guna Gula Melaka Asli Baru Rasa Lebih Sedap >> KLIK DI SINI
Resepi: Aini Binte Madon