
Resepi Ayam Rempah Lima Dengan Cendawan Shiitake
Masa saya belajar di Rusia dulu, saya wajib bawa sejenis rempah segera dari Malaysia. Nama dia, Perencah Ayam Rempah Lima. Saya masak ikut cara dan gambar yang dicadangkan pada pek.
Masakan ni saya rasa variasi masakan orang Cina. Biasanya rempah lima ni, orang Cina yang gunakan. Ia terdiri daripada kayu manis, jintan manis, bunga lawang, cengkih dan lada Sechuan.
Lada Sechuan ni pedas dan ada harum bunga (floral). Oleh kerana saya tak ada lada Sechuan, saya ganti dengan lada hitam/putih secubit. Nak ganti denga cili kering pun boleh.
Bahan-Bahan: (2-3 orang makan)
- 1/2 ekor ayam
- 1 cubit jintan manis
- 1 cubit lada Sechuan
- 1/2 batang kayu manis
- 1/2 kuntum bunga lawang
- 1 cubit cengkih
- 2 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 1 tangkai daun bawang
- 1 genggam cendawan shiitake kering
- 1 sudu kecil tepung jagung
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Memasak:
1. Tumbuk halus kayu manis, jintan manis, bunga lawang, cengkih dan lada Sechuan mengunakan lesung. Kalau nak lebih halus gunakan pengisar rempah/kering. Cuma kalau sedikit sangat kuantiti yang hendak di kisar, tak jadi juga. Sebab itu saya guna lesung.
2. Tumis bawang putih dan halia yang disagat atau dikisar halus. Jika nak kurangkan pengambilan minyak, boleh langkau langkah ni. Reneh terus bawang putih dan halia. Rasanya nanti, tak lari jauh.
3. Masukkan rempah yang kita dah tumbuk tadi. Letak sikit dulu. Takutlah kau orang jenis tak boleh makan makanan yang terlalu berempah. Kalau tak cukup rempah, nanti boleh tambah. Tumis hingga harum.
4. Masukkan ayam dan 2-3 cawan air. Kita kena reneh ayam ni. Sementara reneh ayam, boleh rendam cendawan shiitake hingga kembang, dan kemudian buang tangkai dia.
5. Bila dah selesai siang cendawan tu, boleh masukkan dalam renehan. Sambung reneh. Kuah ni nanti akan ada aroma shiitake, dan shiitake akan serap rempah. Semua akan sebati. Fuh!
6. Perasakan dengan garam dan gula. Akhir sekali masukkan daun bawang untuk aroma yang segar. Kalau suka kuah pekat, masukkan air bancuhan tepung jagung sikit. Biar likat!.
7. Siap! Rasa ayam rempah lima ni lebih kurang macam sup, tapi kerana ada shiitake tu, dia jadi lebih unik. Sedap makan dengan nasi putih panas-panas. Terutamanya pada musim tengkujuh.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan