
Resepi Ayam Negro atau Ayam Masak Kicap Berempah
Assalamualaikum dan selamat malam sahabat-sahabat warga MAHN, lama rasanya saya tidak berkongsi resepi di group ini atas kesibukan tugas dan juga atas urusan lain. Dikesempatan malam ini dan juga dengan kehadiran Ramadhan minggu depan saya ingin kongsikan resepi masakan berasakan ayam yang saya masak pada malam Ahad baru2 ini – AYAM NEGRO aka AYAM MASAK KICAP BEREMPAH. Masakan ini ada direstoran-restoren nasi kandar tertentu. Resepi dan cara memasak adalah seperti berikut jika anda ingin mencuba.
Bahan-Bahan:
- AYAM – 2 Ekor, potong ikut saiz yang diinginkan. Gaul dengan garam dan kunyit, Goreng 3/4 Masak dan ketepikan.
- Bawang Besar – 3 Labu dimayang nipis/kasar ikut suka hati
- Daun Pandan – 2 helai disimpul
- Daun Kari – jika ada
- Kulit Kayu Manis – 1 atau 2 btg
- Buah Pelaga – 5 ke 6 biji
- Carrot – 1/2 biji potong macam baton
- Cili Merah – 6 tangkai hiris kasar
- Cili Api Hijau – beberapa tangkai tak perlu belah atau ketuk, ikut suka nak letak banyak mana.
- Buah Tomato – 3 biji dibelah 6
- Kicap Lemak Manis – 5 ke 6 Sudu Makan
- Kicap Pekat – 2 Sudu Makan, nak gelap lagi tambah la
- Sos Tiram – 4 Sudu Makan
- Sos Cili – 4 Sudu Makan
- Sos Tomato – 4 Sudu Makan
- Garam secukupnya
- Serbuk Perasa secukupnya
Bahan-Bahan Kisar:
- Bawang Besar – 2 Labu
- Bawang Putih – 5 ke 6 ulas
- Halia – 1/2 inci ke 1 inci
Bahan Serbuk Rempah Campur:
- Serbuk Kari Ayam/Daging – 3 Sudu Makan
- Serbuk Kunyit – 1 Sudu Makan
- Serbuk Cili – 1 ke 2 Sudu Makan
- Serbuk Jintan Manis – 1 Sudu Teh
- Serbuk Jintan Putih – 1 Sudu Teh
- Serbuk Ketumbar – 1 Sudu Teh
- Minyak Masak untuk menggoreng ayam dan menumis
Langkah Memasak:
1. Panaskan minyak masak dan masukkan hirisan bawang besar, daun pandan, kulit kayu manis dan buah pelaga. Tumis sehingga bawang besar layu atau bertukar warna sedikit keperangan. Masukkan carrot.
2. Masukkan serbuk rempah campuran dan gaul sebentar dan terus masukkan bahan kisar. Gaul rata dan tunggu sehingga rempah ratus agak kering dan boleh masukkan air saki baki bahan kisar dari blender. Masak sehingga pecah minyak.
3. Masukkan hirisan cili merah dan cili api hijau. Gaul rata dan tambah air anggaran 1 cawan jika kering atau terlalu pekat. Seterusnya masukkan kicap manis, sos tiram, sos cili dan sos tomato serta kicap pekat. Gaul rata biarkan sebati.
4. Masukkan buah tomato, garam dan serbuk perasa, gaul rata dan boleh masukkan ayam. Gaul biar ayam disaluti bahan-bahan istimewa ini. Rasakan masam masin rasa masakan, jika ada hirisan daun ketumbar boleh ditabur di atas masakan.
5. Padamkan api dan hidangkan Ayam Negro aka Ayam Masak Kicap Berempah. Selamat Mencuba, Happy Cooking.
Resepi Oleh: Roslan Eusof