Masakan Barat, Sayur

Potato Salad Berkrim Kalau Makan Sejuk Lebih Sedap

potato-salad-berkrim-kalau-makan-sejuk-lebih-sedap

Potato Salad Berkrim Kalau Makan Sejuk Lebih Sedap

Jika saya sebut kerabu ubi, mungkin akan terasa ‘kampung’nya hidangan ini. Cuba saya sebut potato salad, terus terasa sangat pekan. Potato salad diperkenalkan oleh peneroka Sepanyol ke Dunia Baharu Eropah pada kurun ke-16. Namun lebih banyak yang kenal potato salad daripada pendatang Jerman ke Amerika.

Memang asalnya makanan kampung dan lama-kelamaan menjadi Amerikana apabila mula ditambah mayonis. Pertama kali saya tengok potato salad dibuat di rumah Kak Lin. Hayani yang buat dan saya terkejut tengok beliau guna telur rebus.

Kemudian semasa beliau letak lada hitam, beliau sebut, “Ini petua orang tua-tua sebab ubi angin.” Hayani memang pandai buat coleslaw (saya sudah kongsi di MAHN sebelum ini) dan potato salad. Sedap sungguh.

Pada saya, potato salad ini seperti salad pembawa (carrier salad). Maksudnya salad yang boleh dijadikan alasan untuk masukkan bahan-bahan lain untuk dimakan. Hendak tambah brokoli celur? Silakan. Hendak tambah isi ayam? Silakan. Hendak tambah sosej yang dicincang dan digoreng rangup? Silakan.

Potato salad juga sangat mesra dengan pelbagai rasa dari latar budaya yang berbeza. Hendak jadikan rasa Asia? Gunakan serai dan halia. Mahu rasa Mexico? Guna rempah-ratus Cajun atau Tex-Mex yang biasanya ada kayu manis, jintan putih dan cili.

Potato salad juga tidak menyakitkan kepala. Hendak hidang suam, boleh. Jika takut terlambat, buat awal, simpan dalam peti sejuk dan hidangkan sejuk. Tiada masalah. Emak tanya semalam, “Cek bubuh apa dalam ni?” Soalan itu tandanya emak suka. Alhamdulillah. Lulus oleh Ratu.

Bahan-Bahan dan Cara Buat:

  • 5 biji ubi kentang – rebus sehingga empuk
  • 4 biji telur – rebus
  • 1 biji bawang besar – cincang halus
  • 1/4 biji lobak merah – cincang halus
  • 1/2 biji cili hidup (merah) – buang biji dan cincang halus
  • 1/2 biji cili muda (hijau) – buang biji dan cincang halus
  • 2 sudu makan daun bawang – dihiris
  • 2 sudu makan daun sup – dihiris
  • 1 batang saderi – dicincang halus
Cuba Resepi Ni:  Resepi Spaghetti Aglio Olio Seafood

Jika hendak pedas, biarkan biji cili. Saya lebih kepada mahukan warnanya.

1. Dadukan ubi ketang agak saiz semulut. Sekarang kita buat kuah saladnya, lecek telur rebus guna garfu seperti yang kita belajar dalam ERT di sekolah dulu. Tambah;

  • 1/2 cawan mayonis
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk rosemary/oregano/Italian herbs
  • 2 sudu teh serbuk lada hitam kasar
  • 1 sudu teh gula
  • 2-3 sudu makan cuka/jus lemon/jus limau nipis

Gaul semua bahan hingga rata.

2. Seterusnya, masukkan sayur-mayur dan gaul rata. Masukkan ubi yang didadu dan gaul rata lagi. Siap untuk dihidang atau disimpan dalam peti sejuk dalam bekas bertutup jika mahu makan sejuk.

Berkrim, rasa yang ‘meletus’ dan seronok dapat kunyah-kunyah benda-benda kecil.

Potato Salad Berkrim Kalau Makan Sejuk Lebih Sedap

Resepi Oleh: Siti Hazneza binti Abdul Hamid