Resepi Apam Berkuah Tradisi Terengganu
Punya la lama duk terliur nak makan, konon nak tunggu cuti sekolah balik kampung nak cari dan makan puas-puas. Alih-alih gi restoran dekat ngan rumah pagi ni mata terus tertumpu “dia”..Allahu, lepas jugak hajat.. Tido mata rapat la jap lagi (baru balik kije shif malam).
Bahan Apam: (20 biji acuan kecil)
- 1/2 kg tepung gandum
- 3 keping gula melaka – yang saiz nipis-nipis tu ye (kalau kat terengganu panggil nissan)
- 6 gm yis (setengah peket yis)
- 3 cawan air
Cara Buat:
1. Gula melaka dimasak bersama air hingga larut, kemudian sejukkan, bila dah sejukkan masukkan yis ke dalam cairan gula melaka tadi. Biarkan hingga berbuih.
2. Bila dah berbuih, masukkan ke dalam tepung gandum dan gaul sebati. Jika adunan masih keras, boleh tambah air lagi. Adunan hendaklah kelihatan seperti adunan membuat jemput-jemput atau cekodok.
3. Ketepikan selama 1/2 jam, kemudian, kacau-kacau dan ketepikan untuk 1/2jam lagi. Ulangi proses yang sama untuk kali ke 3 dan bolehlah mengukus.
4. Kalau rajin boleh letak dalam bekas kecil-kecil, tapi jika malas, boleh letak dalam loyang terus. Terpulang pada citarasa masing-masing. Apam ni sebenarnya enak dimakan dengan kuah yang banyak.
Bahan Kuah Apam:
- Ikan Selayang/Kembung/Sadin/Tuna dalam tin (saya guna 2 ekor ikan kembung bersaiz sederhana).
- 1 sudu kecil ketumbar – goreng kejap tanpa minyak dan ditumbuk lumat
- 1 sudu kecil jintan manis – goreng kejap tanpa minyak ditumbuk lumat
- 1/2 inci halia
- 1/2 inci bawang lengkuas
- 1 biji bawang besar
- 2 biji bawang putih
- 1 sudu teh kerisik*
- 1 sudu besar kelapa parut
- 1 sudu teh lada hitam
- Santan kelapa 1 kotak (saya guna 1/2 kotak)
- 2 ketul nissan/gula melaka(yang kecil dan nipis tu)
Cara Buat:
1. Ikan direbus bersama sedikit garam dan diambil isinya. Kemudian, bahan-bahan yang bertulisan merah, dikisar halus, kelapa parut ditumbuk bersama lada hitam hingga hancur.
2. Masukkan santan ke dalam periuk bersama-sama semua bahan-bahan diatas dan masak hingga mendidih dan terbit minyak, rasakan mengikut citarasa.
3. Jika di Terengganu, kuah kebiasaannya agak manis, namun begitu, masinnya pun masih terasa. Tapi pandai-pandailah kita adjust mengikut citarasa kita sendiri ya.
Nota: Untuk buat kerisik, ambil 2-3 sudu kelapa parut, goreng tanpa minyak hingga berubah warna (garing – coklat), kemudian angkat dan tumbuk hingga keluar minyak.
Selamat mencuba resepi mudah apam berkuah, makanan tradisi negeri Terengganu.

Resepi Oleh: Mohd Radzi Azizi