
Resepi Air Barli Homemade Kurang Manis
Harini, tak masak apa-apa pun. Dadih semalam ada lagi. Lauk semalam pun ada lagi sikit. Kimchi pun sentiasa ada dalam fridge. Jadi, saya just buat air je.
Saya suka air barli homemade dan paling tak suka kordial perisa barli sebab saya suka minum sambil makan bijirin barli tu. Stok barli kering ni pun sentiasa ada sepanjang tahun kat rumah ni.
Biasanya, saya rebus banyak, tambahkan gula siap-siap dan simpan dalam fridge. Tak sempat nak simpan lama pun sebab kami dua beradik laju je minum bila ada air ni.
Nak membuatnya senang saja. Ni cara sayalah ya. Mula-mula rendam bijirin barli tu semalaman atau sampai lembut. Tujuannya supaya tak adalah lama sangat nak merebusnya. 30-45 minit pun dah kembang. Kalau tak rendam, dah rebus 1 jam pun still sama je rupanya.
Bila dah kembang, saya masukkan gula. Jadikan larutan air gula. Mudah untuk diagihkan nanti. Bila nak rebus pulak, pastikan guna periuk yang besar. Kalau tak, habis melimpah ruah. Tak pasal-pasal dapat satu kerja nak mengelap air rebusan yang maleleh sekitar dapur gas nanti.
Disebabkan saya minum banyak air ni, saya buat tak manis. 1 cawan metrik bijirin barli yang belum rebus, saya boleh agihkan kepada 4-6 jag berisipadu 2L. Nampak macam sikitkan. Tapi, bila barli tu dah kembang, dapat banyak juga sebenarnya. Saya juga masukkan 3/4 cawan gula/ jag. Apa pun, terpulang. Ikutlah citarasa masing-masing.
Bahan-Bahan: (4-6 jag berisipadu 2L)
- 1 cawan bijirin barli
- Air secukupnya
- 4 1/2 cawan gula pasir
- 1-2 helai daun pandan (simpul)
Cara Penyediaan:
1. Rendam barli semalaman atau sehingga lembut. Toskan barli dan masukkan ke dalam periuk yang besar. Masukkan air (lebih kurang 1/2 periuk) dan daun pandan ke dalam periuk.
2. Rebus dengan api sederhana kecil sehingga barli mengembang. Kacau rebusan barli sesekali dan tambahkan air sedikit demi sedikit sekiranya air rebusan surut. Periksa sesekali sekiranya air rebusan membuak-buak dan melimpah.
3. Setelah barli kembang, masukkan gula. Biarkan gula larut. Sejukkan. Agihkan air gula barli kepada beberapa jag. Masukkan air secukupnya. Lebihan air gula barli bolehlah disimpan dalam bekas bertutup dan diletakkan di dalam peti sejuk.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah