Masak Lemak Cili Padi Tempoyak Jantung Pisang

Masak Lemak Cili Padi Tempoyak Jantung Pisang

Jantung pisang dari pokok tepi rumah lagi. Macam-macam resipi yang saya dah cuba masak. Resipi yang satu ni, saya dapat daripada salah seorang rakan media sosial yang rajin berkongsi resipi di Cookpad. Memang kena dengan selera saya.

Sekarang ni, bukan musim durian. Jadi agak susah nak jumpa orang jual tempoyak. Mujur ada dijual di Shopee (Tempoyak Asli). Saya beli dari trusted seller. Alhamdulillah, selamat sampai dengan baik & rasa pun sedap.

Kali ni, saya masak banyak 2 biji jantung pisang sekaligus. Kalau nak masak sikit, bolehlah guna 1/2 dari resipi di bawah. Resipi asal hanya menggunakan ikan bilis dan tiada udang. Tempoyak tu pulak, ikut sukalah nak letak banyak atau sedikit. Masaklah mengikut selera masing-masing. Selamat mencuba.

Bahan-Bahan (8-10 hidangan):

  • 2 biji jantung pisang
  • 20-40 biji cili padi
  • 1 biji bawang besar
  • 4 sdb ikan bilis
  • 4-5 inci kunyit/serbuk kunyit secukupnya
  • 2 batang serai (ketuk)
  • 8 sdb tempoyak
  • 1-2 keping asam gelugur (letak jika tempoyak kurang masam)
  • 1L santan sederhana pekat
  • 12 ekor udang
  • 2 helai daun kunyit
  • sedikit gula
  • garam secukupnya

Cara Penyediaan:

1. Buang kulit luar jantung pisang dan rebus sehingga empuk. Sejukkan seketika jantung pisang dan hiris kasar.

2. Kisar atau tumbuk cili padi, bawang besar, ikan bilis dan kunyit. Masukkan bahan kisar, serai, hirisan jantung pisang, tempoyak dan asam gelugur ke dalam kuali. Masak sehingga hilang bau cili.

3. Masukkan santan, udang dan hirisan daun kunyit. Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Biarkan sehingga mendidih dan udang masak. Kacau sesekali supaya santan tidak pecah. Sedia untuk dihidangkan.

Nota: Dalam resipi ini, saya menggunakan cili padi merah & hijau.

Klik Di Sini Untuk Beli Tempoyak Asli

Masak Lemak Cili Padi Tempoyak Jantung Pisang

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah