Lima Panduan Goreng Bihun Lebih Sedap
Sebelum diet, cikgu peminat bihun goreng. Boleh kata tegar juga. Macam-macam warna dan rasa cikgu olah. Rupa pun berbeza. Tetapi untuk sesetengah orang goreng bihun ni renyah kan? Silap masak kadang terlembik. Yang jadi macam makan tali tangsi pun ada sebab keras kejung. Mari cikgu kongsi di bawah cara masak bihun goreng menjadi elok dan sedap pastinya.
- Rendam Bihun
Cikgu rendam guna air paip biasa. Tempoh rendaman pun tak lama. Dalam 15 minit cikgu dah goreng. Kalau rendam dengan air panas walaupun sekejap cikgu tak pernah buat. Sebab urat bihun mudah putus dan jadi kembang.
- Bahan Tumis
Bab bihun jadi sedap, rencah tumis tak perlu pun tambah macam-macam sos. Cikgu suka pelbagaikan rupa bihun. Misalnya kalau nak merah macam cara mok masak, cikgu cuma guna cili kering kisar dan sos cili. Untuk bihun putih Singapore tu, cikgu suka letak serbuk lada hitam lebih sikit.
- Tambah Air
Dulu cikgu tambah. Tak kena buat, urat bihun kembang dan rasa pun terus kurang. Sekarang cikgu dah tak letak air. Cikgu suka tutup kuali dengan tudung periuk. Nanti bihun lagi cepat melembut. Bukan lembik ye. Rupa bihun pun masak cantik.
- Kacau Bihun
Nak kacau pun ada caranya. Cikgu suka guna sudip kayu. Balik-balikkan cuma sesekali. Masa balik tak perlu tikam kerat atas urat bihun. Cikgu buat perlahan je. Api pun guna paling perlahan.
- Hiasan
Akhirnya untuk hidangan bihun goreng yang menyelerakan, hiaskan dengan daun bawang, cili dan lain-lain yang sesuai. Cikgu sarankan guna daun bawang sebab boleh buat rasa bihun lagi naik. Taburan daun sup tu hanya sedikit sudah memadai.
Tambahan lagi satu, cikgu peminat cendawan shitake. Jadi untuk rasa bihun lebih menyengat, bolehlah masukkan cendawan ini sebagai tambahan bersama sayuran lain.

Oleh: Afy AL Habibi