Cara Simpan Telur Ayam Supaya Tak Mudah Rosak

Cara Simpan Telur Ayam Supaya Tak Mudah Rosak

Macam mana cara korang simpan telur ayam ye? Pernah tak telur yang korang beli tu busuk/rosak sebelum tarikh luput? Saya selalu beli telur tanpa suntikan antibiotik (free antibiotics) atau telur ayam kampung. Yang saya perasan telur ni lagi cepat rosak berbanding telur ayam biasa sedangkan tarikh luput masih lama lagi.

Sebelum ni memang basuh telur bila nak guna je. Tapi sebab selalu sangat masalah telur rosak walaupun baru seminggu, sekarang ni memang wajib buat ujian rendam telur ayam dulu sebelum simpan. Hampir tiap kali juga ada sebiji dua telur yang dah separa terapung. Bila dah tahu mana telur yang lama, bolehlah guna/masak dulu. Cara ni gak sesuai untuk yang suka beli telur dalam kuantiti banyak tapi lambat habiskan tu.

Cara Nak Uji Kesegaran Telur Ayam:

1. Basuh dan bersihkan telur dari kotoran.

2. Sediakan bekas jernih (lebih tinggi dari paras telur). Isikan air paip. Masukkan 1 per 1 telur. Pastikan tak terlalu padat dan masih ada ruang.

3. Perhatikan kedudukan telur dalam air;

  • Telur baru = tenggelam dengan posisi melintang
  • Telur > 1 minggu = tenggelam dengan posisi sedikit condong
  • Telur 2-3 minggu = tenggelam dengan posisi tegak (bahagian runcing di bawah)
  • Telur lama = separa terapung
  • Telur rosak = terapung sepenuhnya.

Sebelum ni saya cuba simpan seminggu lagi telur ayam yang tenggelam dengan posisi tegak, tapi bila direndam telur ni tenggelam condong pulak. Makin lama barulah akan jadi separa terapung. Agak susah nak bezakan samada telur yang tenggelam condong ni lebih dari 1 minggu atau lebih dari 3 minggu (saya habiskan yang terapung dan condong ni dulu)

Telur terapung sebab banyak kandungan udara tapi tak semestinya dah rosak. Pada peringkat ni, isi telur semakin cair tapi ada yang masih boleh dimakan. Kalau goncang dan cair tu, terus je pecahkan dalam bekas. Kalau nasib baik, boleh dimakan lagi. Yang dah busuk tu, ke sinki aje lah jawabnye.

Cara Simpan Telur Yang Dah Dibasuh Agar Tahan Lama:

1. Telur ni sebaik-baiknya yang nak disimpan tak perlu dibasuh sebab kat kulit telur ada 1 lapisan pelindung (kutikel). Kutikel ni fungsi dia melindungi pori-pori halus pada kulit telur dari masuk udara dan bakteria.

2. Tapi bila telur ayam dah dibasuh, kutikel akan hilang dan pori-pori halus akan terdedah sebabkan telur tak boleh tahan lama. Telur perlu disimpan dalam fridge dalam bekas khas untuk telur atau bekas bertutup supaya tak serap lebih banyak udara atau bau-bauan lain.

3. Asingkan telur ayam yang telah dibasuh ikut tahap kesegaran. Tos kering. Gunakan tisu dapur atau kain supaya cepat serap air.

4. Bila dah kering, susun telur yang lebih segar dalam bekas bertutup yang dah ditabur dengan beras sikit. Beras ni berfungsi serap segala lembapan atau wap air yang terbentuk dalam bekas. Boleh gunakan beras yang sama untuk telur yang berikutnya. Tapi dalam beberapa bulan, perlu tukar beras baru bila beras dah mula berkulat.

5. Untuk lapisan kedua, susun telur yang lebih lama (supaya guna telur lama dulu). Gunakan tisu dapur atau kain sebagai alas untuk elakkan telur ayam retak atau pecah.

6. Tulis tarikh expired/best before (BB) pada bekas supaya tak lupa.

Nota:

  1. Gambar telur ayam sebiji tu, dah 2 minggu lepas tarikh luput. Saya sengaja simpan untuk tunjuk telur ni masih elok. Biasanya 2 minggu sebelum tarikh luput lagi dah rosak. Semenjak simpan cara ni, dah tak pernah buang telur lagi.
  2. Cara ni sesuai untuk mereka yang selalu alami masalah telur rosak sebelum tarikh luput dan beli telur banyak tapi lambat habiskan. Kalau yang dah memang confirm habiskan, baik simpan macam biasa je. Boleh juga guna cara ni untuk simpan balance telur yang tarikh expirednya tinggal lagi seminggu untuk panjangkan jangka hayat dan supaya rasa telur tak terjejas.
  3. Saya bukan nak galakkan simpan telur lama-lama, tapi sekarang ni nak elakkan telur rosak sebelum tarikh luput dan nak elak pembaziran. Harap maklum ye.

Cara Mudah Nak Buat Telur Separuh Masak, Guna Alat Ni >> KLIK DI SINI

Cara Simpan Telur Ayam Supaya Tak Mudah Rosak

Tip Oleh: Yatie Eimra