Kuah Laksa Johor Guna Ikan Parang dan Udang

Kuah Laksa Johor Guna Ikan Parang dan Udang

Guna isi ikan parang dan udang, kuah jadi manis. 8 jam baru selesai masak atas bantuan anak dan suami. Tak kira lagi nak perhangat kuah tiap 3-4 jam sekali. Lagi rajin diperhangat dengan api kecil, lagi cantik dan sedap kuahnya.

Resipi ni untuk 50 orang makan. Sesuai untuk open house. Masak kuah sehari awal supaya dapat panas-panaskan kuah. Nanti lagi sedap. Bertambah mak mertua hakak makan.

Bahan Rebusan A:

  • 2 kg ikan kembung/parang (boleh campur)
  • 1 kg udang (saiz yg kecil lebih manis)

Ikan dicuci bersih dan rebus bersama 2 keping asam gelugor selama 15 minit. Saya rebus udang tanpa buang kepala, rasa air rebusan lebih manis.

Asingkan isi ikan dari tulang, kupas kulit udang. Blend isi ikan dan udang bersama air rebusan tadi.

Bahan Kisar B:

  • 18 biji bawang merah
  • 6 biji bawang besar
  • 15 biji bawang putih
  • 2 inci lengkuas
  • 3 inci halia
  • 15 batang serai
  • 3/4 cawan udang kering (rendam dulu)

Blend semua bahan, guna 4 cawan air dan 2 cawan minyak masak.

Bahan Tumis C:

  • 3 biji kelapa kerisik
  • 4 biji santan kelapa/1 kg santan pekat.
  • 5 batang serai diketuk.
  • 2 peket (25g) kari ikan adabi
  • 1 peket (25g) kari ikan daging adabi
  • 2 peket (25g) kari ikan pedas Baba’s
  • 1 peket (25g) kari daging pedas Baba’s
  • 2 cawan minyak masak
  • 3 keping asam gelugor
  • 0.5 keping guna nisan/melaka
  • 3 sudu besar gula/secukup rasa
  • 2 sudu besar garam/secukup rasa. Hakak tak guna Aji masak Laksa Joho sebab ikan dan udang dah cukup manis.

Cara Memasak:

1. Panaskan kuali atau kawah dengan 2 cawan minyak. Masukkan 5 batang serai yang diketuk. Bila minyak dah betul-betul panas, masukkan bahan B. Tumiskan sehingga kecut, pecah minyak dan naik bau. Masukkan Rempah Kari ikan dan daging. Biarkan seketika sehingga rempah sebati dengan api kecil.

2. Pindahkan ke periuk atau kawah yang lebih besar. Masukkan isi ikan dan udang yang telah diblend iaitu bahan A ke dalam periuk bersama kerisik, santan, asam gelugor, gula dan garam.

3. Perlahankan api dan kacau. Biarkan selama 2 jam di atas dapur. Tambahkan air secawan setiap satu jam. Boleh tambah lebih air ikut suka. Kalau boleh jangan pekat sangat, sedang-sedang jer tahap kepekatan dia. Hangatkan kuah 3-4 jam sekali. Bertambah cantik kuahnya. Siap untuk dihidang.

Aksesori Untuk Hidangan:

  • Taugeh dicuci bersih
  • Bawang besar dimayang halus
  • Timun dimayang halus
  • Daun selasih/kesum dimayang halus
  • Limau kasturi dibelah dibuang biji
  • Boleh tambah kacang panjang jika suka
  • Boleh tambah lobak jeruk jika suka
  • Susun dalam mangkuk sebagai pelengkap hidangan

Sambal Belacan:

  • 2/3 biji tomato
  • 2 inci belacan bakar
  • 10 biji limau kasturi
  • 10 biji cili padi vietnam/merah
  • 10 biji cili merah
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1 sudu garam

Cara Buat: Masukkan semua bahan ke dalam blender dan perahkan limau kasturi tanpa air. Kalau boleh letak tomato dulu (lapisan bawah sekali). Pastu blendkan.

Rebus 8 bungkus spagetti jenama apa-apa boleh. Rebus sebungkus-sebungkus. Semasa rebus masukkan 3 sudu besar minyak zaitun dan sesudu garam. Supaya nak hidang tak melekat-lekat. Toskan dan gulung ikut suka untuk dihidang dalam pinggan.

Tips Tambahan:

  • Lebihkan kerisik, bertambah sedap.
  • Boleh gantikan ikan ikut selera. Ada yang suka guna ikan tenggiri/talang/kurau. Tapi hakak suka ikan parang, manis isinya. Kalau nak mudah guna high pressure noxxa 45 minit. Pastu blend dengan tulang sebab dah lembut. Lebihkan sedikit rasa kari lebih sedap.

Nak Cepat Dan Mudah, Boleh Guna Pes Laksa Johor Segera Ni >> KLIK DI SINI

Kuah Laksa Johor Guna Ikan Parang dan Udang

Resepi Oleh: Ratu Giling Malaya