
Ikan Masak Pedas Thai Campak-Campak Je Siap
Tudia, “Ikan Masak Pedas Thai”. Campak-campak je, siap!. Rasanya sedikit masam, manis dan pedas berlemak. Buat tekak yang tak sihat ni, berselera jadinya. Jika saya berjiran dengan awak, saya pasti hantar kuah sahaja. Ikannya awak goreng sendiri ye.
Bahan-Bahan dan Cara Memasak:
1. Bedakkan ikan dengan garam dan kunyit kasi berseri. Saya letak sikit tepung jagung untuk tambah kerangupan. Nak guna ikan apa pun tak kisah. Tak dosa!. Panaskan minyak dan goreng ikan dulu. Ketepikan.
2. Sediakan bahan-bahan seperti;
- 1 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 4 biji cili api merah
- 3 biji cili api hijau
- 2 batang akar ketumbar
Kisar je semua bahan ni.
3. Panaskan minyak, tumis 1 biji bawang besar dan 1 batang serai. Ha, hiris-nipis begitu. Dah kekuningan, masuk bahan kisar tadi. Kacau sampai pecah minyak.
4. Kemudian, masuk 3 sudu sos cili, 2 sudu sos tiram, 2 sudu sos ikan dan sedikit air limau nipis. Kacau dan kacau sampai pecah minyak lagi. Seterusnya, campak-campak je daun limau purut dan Tambah sedikit air. Biar mendidih.
5. Masukkan pula 1/2 sudu besar gula. Ikutla tahap kemanisan yang suka. Perasakan dengan serbuk perasa. Jika kurang masin boleh tambah sedikit garam. Tutup api, boleh campak manja tomato.
6. Akhir sekali, curah kuah Pedas Thai atas ikan dengan penuh curahan kasih sayang. Tabur sedikit daun ketumbar sebagai penyeri. Hidangkan.
Resepi Oleh: Liza Idris