Cara Buat Dessert Mudah Panna Cotta
Sejak anakanda Syamila cuba buat panna cotta pada bulan puasa yang lalu, akak terus jatuh cinta dengan dessert ni. Sejak tu dah berkali-kali akak buat menggunakan pelbagai resipi yang akak search online hingga akhirnya bertemu dengan resipi yang akak puas hati. Tapi bagi akak resipi asal ni agak manis, jadi kalau kawan-kawan nak cuba boleh kurangkan sukatan gula jika tak suka terlalu manis.
Resipi asal panna cotta ni digandingkan dengan jeli strawberi tapi akak biasanya gandingkan dengan puri buah-buahan saja. Macam-macam buah juga yang kami cuba sebagai topping dan kalau ikut tekak akak lebih sedap jika gunakan buah-buahan yang ada sedikit rasa masam. Kalau ada kawan-kawan yang nak cuba dessert yang elegan tapi mudah untuk disediakan, bolehlah cuba resipi di bawah ni.
Bahan-Bahan:
- 2 cawan dairy whipping cream
- 2 cawan susu segar penuh krim (saya bancuh susu Omega Plus)
- 3/4 cawan gula (saya guna kurang dari sukatan ni)
- 1 sudu teh vanila
- 2 sudu besar gelatin (pastikan yang halal)
- 6 sudu besar air
- Secubit garam (saya tambah)
- 2 sudu besar plain yougurt atau sour cream – jika suka (saya tambah)
- Buah pilihan – saya guna strawberi dan blueberi
Bahan untuk sos strawberi (resipi asal guna jeli strawberi):
- Strawberi
- Gula
- Sedikit jus lemon jika suka
Cara Membuatnya:
1. Satukan gelatin dan air dan ketepikan 10-15 minit hingga gelatin mengembang.
2. Satukan susu, krim, vanila, gula dan garam. Masak sehingga gula larut dan hampir mendidih dan mula timbul buih halus pada tepi periuk (jangan biar hingga mendidih).
3. Tutup api dan masukkan gelatin yang telah kembang dengan whisk hingga gelatin larut sepenuhnya. Jika gelatin tidak larut sepenuhnya, masak semula sambil dikacau sehingga gelatin larut (jangan biar hingga mendidih).
4. Biar hingga agak suam baru masukkan yougurt atau sour cream dan kacau sebati. Tuang ke dalam acuan dan simpan dalam peti sejuk beberapa jam hingga panna cotta mengeras.
5. Sediakan sos strawberi dengan cara mengisar strawberi bersama jus lemon dan gula hingga halus dan sebati. Tuang sedikit sos strawberi di atas panna cotta dan hias dengan buah pilihan.
Siap! Cara buat dessert mudah ala Itali panna cotta, resepi yang mudah dan sedap. Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi