Ayam Goreng Ketumbar Dengan Sos Pencicah Ala Thai
Hari ni, merupakan hari yang sibuk untuk saya sejak dari pagi lagi. Jadi, saya hanya sediakan hidangan yang mudah sahaja untuk makan malam. Ayam goreng ketumbar yang diinspirasikan dari perkongsian resipi oleh Che Sayang Kitchen. Manakala, sos pencicah ala Thai pula diinspirasikan dari perkongsian resipi oleh aunty kak_t68. Terima kasih kedua-duanya. Tapi macam biasa, saya mesti derhaka dengan resipi yang dikongsikan.
Disebabkan saya tak tahu untuk menggoreng ayam secara ‘deep fry’ (pecah rahsia. Ya. Saya tak tahu menggoreng apa-apa ayam goreng baik ayam yang digaul dengan serbuk kunyit-garam, ayam goreng berempah dan ayam goreng tepung), saya menggunakan ‘air fryer’ sahaja untuk menggoreng ayam goreng ketumbar ni sambil menyiapkan kerja-kerja yang lain.
Overall, gandingan ayam goreng dan sos pencicah ni memang ngam. Macam biasa, saya cuma makan ayam goreng dan pencicahnya begitu sahaja tanpa nasi untuk makan malam sebentar tadi. Lepas ni, saya nak bersenam sekejap sebelum sambung menjahit sehingga tengah malam nanti. Selamat mencuba.
Bahan Ayam Goreng Ketumbar:
- 4-6 sdb biji ketumbar (sangai)*
- 1 labu bawang besar*
- 4-6 ulas bawang putih*
- 4-6 sdb minyak masak*
- 4-6 sdb tepung beras
- 1-1 1/2 sdt garam
- 1 ekor/8-12 ketul ayam
Cara Penyediaan:
1. Sangai biji ketumbar sehingga terbit bau. Masukkan bahan-bahan yang bertanda (*) ke dalam pemproses makanan (food processor) dan kisar sehingga hancur.
2. Masukkan bahan kisar, tepung beras dan garam ke dalam bekas ayam. Gaul sekata dan perap sekurang-kurangnya 1 jam (saya perap seharian).
3. Goreng ayam seperti biasa dalam minyak yang panas sehingga masak pada bahagian luar dan dalamnya. Sedia untuk dihidangkan.
Nota: Saya goreng ayam dengan menggunakan ‘air fryer’ pada suhu 200C selama 20-25 minit atau sehingga masak. Balik-balikkan ayam setiap 7 minit.
Bahan Sos Pencicah Thai:
- 1-2 sdb beras (sangai & kisar/tumbuk)
- 4 ulas bawang putih*
- 4 biji cili merah*
- 8-12 biji cili padi*
- 1 pokok daun – akar ketumbar*
- 1/2 cawan air suam
- 2-3 sdb gula kabung Thai (saya guna gula merah)
- 2-3 biji limau nipis (perah & ambil jusnya)
- 2-3 sdb sos ikan
- 1 labu bawang besar (hiris dadu)
- Daun ketumbar
Cara Penyediaan:
1. Sangai beras sehingga keperangan. Tumbuk atau kisar beras yang telah disangai sehingga menjadi serbuk. Ketepikan. Masukkan bahan-bahan yang bertanda (*) ke dalam pemproses makanan (food processor) dan kisar mengikut kesukaan masing-masing. Ketepikan.
2. Campurkan air suam, gula merah, jus limau nipis, sos ikan, bahan kisar, beras yang telah disangai dan ditumbuk, hirisan bawang serta daun ketumbar ke dalam mangkuk. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.
Makan Ayam Goreng Dengan Sambal Minang Ni Pun Sedap Juga >> KLIK DI SINI

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah


