Ayam Goreng Berempah Dengan Bawang Rangup dan Daun Kari
Suka sangat ke India (belum sampai secara fizikal. In shaa Allah satu hari nanti). Masakan India banyak rempah-ratus maka dikategorikan sebagai spicy. Berempah tidak semestinya pedas. Misalnya jika letak ketumbar, jintan putih dan jintan manis. Berempah. Tetapi tidak pedas bukan?
Jika pedas dikatakan hot. Kepedasan biasanya datang daripada cili dan rasa yang pijar biasanya daripada lada (hitam, putih dan merah pun ada). Jika pedas dan berempah itu yang jadi hot and spicy.
Bahan-Bahan:
- 1/2 ekor ayam
- 1/2 sudu makan serbuk cili
- 1 sudu makan serbuk ketumbar
- 2 sudu teh serbuk jintan putih
- 1 sudu teh serbuk stok ayam
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 2 sudu makan tepung gandum
- Air secukup untuk jadikan rempah-ratus melekat pada ayam.
Tahap kepedasan rendah. Sesuai untuk kanak-kanak. Jika suka lebih pedas, boleh tambah serbuk cili atau kisar cili padi hijau untuk ditambah dalam adunan.
- 2 labu bawang besar- hiris tebal sedikit dan gaul dengan tepung gandum
- Segenggam longgar daun kari
Cara Memasak:
1. Satukan 1/2 ekor ayam dipotong comel dengan serbuk cili, ketumbar, jintan putih, stok ayam, garam, lada hitam dan tepung gandum. Gaulkan dengan sedikit air sehingga bahan-bahan menyaluti ayam. Agak-agak macam pakai bedak sejuk tu.
2. Kemudian, goreng dalam minyak dengan api sederhana. Mak Maryam (ibu mertua saya) ajar tutup supaya ayam masak elok sebelah dalam. Selepas kalih, baru biarkan terbuka. Ayam garing, tidak lembik, berjus di dalam dan tiada darah pada bahagian yang dekat dengan tulang.
3. Sementara ayam dalam kuali, hiris bawang besar dan gaul dengan tepung gandum. Tambahkan, segenggam daun kari. Jika mahu, boleh ganti dengan daun pandan, daun limau purut atau daun kunyit. Aromanya akan berbeza.
4. Kemudian goreng bawang dan daun kari bersama ayam. Jika kuali besar macam rumah kenduri atau kedai mamak, memang mudah masukkan terus bawang dan daun kari selepas kalih ayam. Kuali saya comel, jadi separuh jalan, saya keluarkan ayam dahulu untuk elakkan rentung. Bila dah garing keemasan, boleh angkat dan masukkan pada ayam yang sudah siap.
5. Sentiasa selang-selikan menggoreng ayam dan campuran bawang dengan daun kari supaya seimbang dan tidak perlu gaul-gaul lagi kerana setiap lapis ayam, ada lapisan rangup bawang. Makan dengan nasi panas-panas sedap ni.
Makan Dengan Sambal Hijau Minang Ni, Boleh Memang Bertambah Nasi >> KLIK DI SINI
Resepi Oleh: Siti Hazneza binti Abdul Hamid