
Ayam Bawang Karamel Hanya Guna 4 Bahan
Saya tak ingat belajar masak ni dekat mana, tapi masakan ni selalu orang keliru dengan lauk nasi kandar tu. Nama dia lebih kurang sama, tapi yang ini tak berempah dan guna 4 utama bahan je!.
Masakan ni hidangan marhaen. Masakan paling asas, dan hanya gunakan ayam, bawang dan bawang putih. Diperasakan dengan lada hitam, garam dan gula. Ringkas tapi sedap!.
Bahan-Bahan: Hidangan 2-3 orang
- 1/2 ekor ayam (dipotong kecil)
- 1 biji bawang Holland
- 1 labu bawang putih
- 1 sudu kecil lada hitam
- garam dan gula secukup rasa
Cara Memasak:
1. Bawang Holland dihiris, dan bawang putih dikupas. Nampak mudah, kan? Rileks dulu! Sekejap lagi ia akan jadi leceh. Tak tipu!.
2. Gunalan minyak yang sedikit. Kita nak tumis bawang sampai terkaramel. Saya gunakan kuali leper stainless steel sebab kalau guna kuali non-stick, susah nak lihat bawang dah terkaramel ke dah terhangus.
3. Tumis bawang putih dan bawang Holland dengan api besar. Bila dia dah mula nampak bertukar warna kuning sikit, letak ke api sederhana. Untuk jadi kuning ni, perlu dalam 2-3 minit dengan api besar.
4. Kadang-kadang, dari kuning dia cepat je bertukar perang dan kering. Itu maknanya api besar sangat! Kita tak mahu ia jadi bawang goreng rangup. Kita nak dia perang tapi lembut. Tambah air kalau dia cepat sangat mengering.
5. Kekalkan api kecil, sambung tumis sampai air kering dan bawang putih dan bawang Holland jadi perang keemasan. Kalau kering sangat, tambah sikit air 2-3 sudu dan sambung tumis.
6. Kalau sabar, InsyaAllah akan jadi bawang terkaramel yang gelap tapi tak kering. Masa ni boleh mauskkan 1 sudu gula dan 2 sudu kecil garam.
7. Tolak bawang ke tepi. Kita nak “sear” atau goreng ayam gunakan minyak minima. Tak perlu tambah minyak. Kita sear dengan minyak yang dah ada dalam kuali kita ni je. Gunakan api besar atau sederhana.
8. Susun ayam. Pastikan ayam bertukar perang, sebelum terbalik ayam. Lebih perang ayam, lebih baik. Bahagian yang perang itulah yang akan menyumbang kepada kelazatan masakan ni nanti.
9. Sekarang dah boleh letak 1/2 cawan air. Tambah gula dan garam mengikut citarasa. Reneh sampai air berkurang dan ayam masak. Bawang akan hancur.
10. OK perasakan sikit dengan lada hitam. Jangan banyak sangat. Nanti akan tenggelam rasa bawang terkaramel, dan jadi rasa ayam masak lada hitam. Masakan ni boleh buat berkuah sikit atau kering.
11. Saya suka reneh sampai kering. Oleh kerana tekak ni tekak nusantara, terpaksa tambah cili (kalau suka) untuk dapatkan kepedasan. Macam saya kata tadi, tak boleh letak lada hitam banyak, nanti jadi ayam lada hitam.
12. Ok hidang! Sukar nak cakap macam mana rasa Ayam Bawang Karamel ni. Dia ada manis bawang, ada rasa lemak bawang putih, dan ada rasa hangat lada hitam. Boleh makan dengan nasi atau roti.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan