Agar-Agar Santan Pandan Guna Daun Pandan Sepenuhnya

Agar-Agar Santan Pandan Guna Daun Pandan Sepenuhnya

Perisa pandan. Salah satu perisa ‘rumput’ kegemaran saya selain matcha dan pudina. Tapi, saya agak cerewet dengan makanan berperisa pandan. Saya boleh tahu jika makanan itu dibuat dengan menggunakan 100% daun pandan atau 1/2 daun pandan dan 1/2 perisa pandan atau 100% perisa pandan. Begitu juga dengan warna. Untuk setiap resipi saya, saya memang tak akan menggunakan sebarang perisa dan pewarna untuk makanan berperisa pandan kerana saya mahu menikmati rasa semulajadinya dan gemarkan warnanya yang asal.

Saya buat agar-agar santan pandan ni sebab saya yang mahu makan. I need sugar. Disebabkan saya sedang berdiet dan tiada pantang larang terhadap makanan yang saya makan, saya kurangkan sukatan gula untuk agar-agar ni. Rasanya lebih tawar dari rasa buah-buahan. Sehari, saya hanya makan 1 potong sahaja.

Secara keseluruhannya, saya gembira dengan hasilnya dan sangat teruja melihat warna hijau yang terhasil. Pada mulanya saya ingatkan agar-agar saya tak menjadi seperti yang saya bayang dan harapkan. Selepas melihat perkongsian di internet, kebanyakan yang membuat agar-agar ini dengan menggunakan 100% daun pandan asli pasti akan menghasilkan lapisan yang berwarna jernih pada bahagian yang tidak ‘berlumut’. Rupa-rupanya ada cara supaya boleh menghasilkan warna hijau pada bahagian tersebut tanpa perlu menambah pewarna makanan tambahan. Saya juga gemar untuk hasilkan kesan ‘lumut’ yang halus seperti dalam gambar di bawah berbanding ‘lumut’ yang kasar.

Sebelum ni, saya pernah buat agar-agar santan versi gula merah.

Bahan-Bahan (Acuan berkapasiti 1 L):

  • 250 ml (1 cawan) air + 80 g (11 helai) daun pandan
  • 10 g serbuk agar-agar
  • 100-150 g (1/2 – 2/3 cawan) gula pasir (saya guna 100g)
  • 1/4 sdt garam
  • 500 ml (2 cawan) air
  • 250 ml (1 cawan) santan
  • 1 biji telur

Cara Penyediaan:

1. Masukkan air dan daun pandan ke dalam pengisar. Kisar dan tapis daun pandan. Ambil jusnya sahaja. Masukkan serbuk agar-agar, gula pasir, garam dan air ke dalam periuk. Masak sehingga agar-agar dan gula larut.

2. Masukkan pula santan dan telur yang telah dikocok terlebih dahulu ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dan membuak-buak. Kacau larutan agar-agar dengan kerap jika mahu menghasilkan kesan ‘lumut’ yang halus.

3. Masukkan jus pandan. Biarkan sehingga mendidih seketika. Tutup api. Masukkan larutan agar-agar ke dalam acuan. Sejukkan seketika dan masukkan ke dalam peti sejuk. Biarkan agar-agar mengeras beberapa jam sebelum dihidangkan.

Nota:

  • Kacau larutan agar-agar dengan kerap jika mahu menghasilkan kesan ‘lumut’ yang halus.
  • Pakai periuk yang lebih besar dari kuantiti cecair yang digunakan supaya larutan agar-agar tidak melimpah keluar ketika mendidih.
  • Saya menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.

Boleh Guna Acuan Agar-Agar Macam Ni Baru Nampak Cantik Dan Mudah Dipotong >> KLIK DI SINI

Agar-Agar Santan Pandan Guna Daun Pandan Sepenuhnya

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah