Agar-Agar Santan Gula Merah Kurang Manis Tapi Sedap
Geram pulak tengok serbuk agar-agar yang dah lama tersadai dalam bekas stok barang masakan kering di dapur. Tengok bahan-bahan lain yang ada, terjadilah agar-agar santan gula merah ni. Resipi ni tak berapa manis. Jadi, buat peminat dessert yang manis, bolehlah tambahkan lagi gula merah tu atau campurkan sedikit dengan gula putih. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan (Acuan bersaiz 1 L):
- 10 g serbuk agar-agar
- 150-200 g (3/4 – 1 cawan) gula merah (saya guna 150g)
- 1/4 sdt garam
- 1-2 helai daun pandan (simpul)
- 750 ml (3 cawan) air
- 250 ml (1 cawan) santan
- 1 biji telur
Cara Penyediaan:
1. Masukkan serbuk agar-agar, gula merah, garam, daun pandan dan air ke dalam periuk. Masak sehingga agar-agar dan gula larut. Keluarkan daun pandan dan tapis larutan agar-agar.
2. Masukkan semula larutan agar-agar, santan dan telur yang telah dikocok terlebih dahulu ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dan membuak-buak.
3. Kacau larutan agar-agar dengan kerap jika mahu menghasilkan kesan ‘lumut’ yang halus. Tutup api dan masukkan ke dalam acuan agar-agar.
4. Sejukkan seketika dan masukkan ke dalam peti sejuk. Biarkan agar-agar mengeras beberapa jam sebelum dihidangkan.
Nota:
- Kacau larutan agar-agar dengan kerap jika mahu menghasilkan kesan ‘lumut’ yang halus.
- Pakai periuk yang lebih besar dari kuantiti cecair yang digunakan supaya larutan agar-agar tidak melimpah keluar ketika mendidih.
- Dalam resipi ini, saya menggunakan gula merah Cap Bintang.
Guna Acuan Agar-Agar Macam Ni Untuk Hasil Yang Terbaik >> KLIK DI SINI

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah


