Makanan Laut

Resepi Sotong Goreng Tepung dan Sotong Goreng Kunyit

sotong-goreng-tepung-dan-sotong-goreng-kunyit

Ramai yang tanya resepi sotong goreng tepung sebab ramai buat tak menjadi. Mak mertua dan mak kita pun tanya macam mana kita goreng elok tepung melekat dengan sotong. Ada yang ingat kita guna tepung serbaguna tapi sebenarnya resepinya mudah je. Cuma kena tahu teknik yang betul semasa masak. Kalau ikut betul-betul resepi ni in sha Allah tak susah nak buat sotong goreng tepung dan tak payah takut minyak meletup-letup lagi.

Resepi Sotong Goreng Tepung Rangup

Bahan-Bahan:

1 kilo sotong – bersihkan, buang kulit hitam bahagian luar, potong bulat, cuci dan toskan.
Tambahkan dengan 2 sudu besar cuka epal, gaul hingga rata kemudian ketepikan.

*tujuan menambahkan cuka epal adalah untuk mengelakkan sotong dari meletup ketika menggoreng. Tak perlu susah-susah lap sotong guna tisu atau tuala. Kompem tak meletop..

Bahan Tepung Salutan:

10 sudu besar tepung gandum
6 sudu besar tepung jagung
2 sudu kecil serbuk lada hitam
2 sudu kecil serbuk lada sulah
Garam
Serbuk kunyit

*Gaul sebati semua bahan di atas

Dalam bekas lain pukul 2 biji telur hingga kembang

Cara Membuat:

1. Ambil sotong tadi campurkan dengan sedikit garam, serbuk kunyit lada hitam dan lada sulah. Gaul hingga sebati.

2. Panaskan minyak di dalam kuali hingga cukup panas, masukkan sotong dalam bekas telur kemudian golek-golekkan sotong dalam bekas tepung, pastikan semua bahagian sotong bersalut dengan tepung.

3. Setelah itu, masukkan sotong satu persatu di dalam kuali, jangan masak terlalu banyak dalam satu-satu masa supaya suhu panas minyak cukup untuk merangupkan tepung salutan tadi. Masak hingga keperangan di dalam api sederhana besar.

4. Angkat sotong guna penapis besi dan toskan di atas tisu dapur.

5. Kaut semua kerak-kerak tepung untuk mengelakkan menjadi hangus. Goreng hingga habis.

Sos Pencicah: (kalau nak buat)

3 sudu besar sos thai
1 sudu besar mayonese

Gaul sebati sos, tabur dengan bijan jika suka.

Resepi Sotong Goreng Kunyit

Bahan-Bahan:

½ kilo sotong bersihkan dan toskan
1 biji bawang besar – hiris nipis
3 ulas bawang putih – ketuk
2 tangkai cili merah – hiris
7 biji cili api atau ikut kepedasan masing-masing – hiris
1 inci halia – hiris nipis
Sebatang serai – ketuk
1 keping asam keping
½ biji tomato – potong 3 bahagian
Serbuk kunyit
Garam

Cara Membuat:

1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar, bawang putih dan serai hingga kekuningan.

2. Masukkan asam keping, cili merah, cili api dan serbuk kunyit.

3. Kemudian masukkan sotong dan perasakan dengan garam.

4. Apabila sotong masak, masukkan tomato dan tutup api. Sedia untuk menghidang.

Resepi Oleh: Suzana Othman