Sambal & Pencicah, snek, Snek

Sengkuang Calit Dengan Sos Merah Original

sengkuang-calit-dengan-sos-merah-original

Sengkuang Calit Dengan Sos Merah Original

Siapa pernah makan sengkuang calit? Alah, snek kegemaran kita masa kanak-kanak dulu. Jom kita buat! Saya ada resepi sos merah dia sekali! Ori punya!. Resepi ni saya dapat dari penjual sengkuang calit yang dah berniaga 40 tahun. Dia tak larat nak menjual, jadi dia kata baik kongsi sahaja resepi ni. Biar tak hilang ditelan zaman.

Bahan-Bahan: (dapat 1 cawan sos)

  • 1 biji sengkuang
  • 4 sudu besar taucu manis (masin pun OK)
  • 8 sudu besar gula Melaka
  • 2 sudu besar minyak bijan
  • ½ sudu kecil cili boh
  • ½ sudu kecil pes asam jawa
  • 2 sudu kecil tepung jagung
  • 1 mangkuk kecil kacang tanah
  • Air secukupnya

Cara Membuat:

1. Sengkuang, belilah di pasar atau pasar raya. Besar ni RM2 je. Rangup dan manis ya ampun. Kupas kulit dia, dan hiris dengan ketebalan 1.52 cm. Kena tepat tau! Baru jadi. Haha! Nanti dapatlah 15-21 keping. Dah siap potong, letak dalam Tupperware kegemaran kau orang, dan sorok dalam peti ais. Kalau tak sorok dijamin lesap.

2. Ini bahan asas untuk buat sos merah sengkuang calit. Taucu manis, gula melaka, pes asam jawa dan sedikit cili boh. Ya, tak ada petis, tak ada kicap, tak ada sos cili. Masukkan bahan asas dalam pengisar makanan, letak minyak bijan dan sedikit air. Kemudian kisar! Sampai halus!.

3. Biarlah saya jujur, masa saya kisar ni saya ada letak pewarna merah sedikit. Kalau resepi asli, taucu tu patutnya yang ditapaikan dengan beras yis merah. Tapi susah nak cari taucu tu. OK dah kisar, masuk dalam periuk paling comel yang kalian ada. Renehkan dia sampai cili boh tadi masak. Kalau tak masak cili tu, pahit jadinya.

Cuba Resepi Ni:  Cara Buat Hash Brown

4. Tadi saya rasa sos saya ni, alamak masin je kuat, manisnya kurang. Jadi tambah sedikit madu. Taklah rasa bersalah sangat berbanding tambah gula lagi. Kan?. Dah sudah masak, saya gunakan air bancuhan tepung jagung sebagai pemekat. Kalau sos ni kalau cair sangat, tak boleh pula nak sapu atas sengkuang nanti. Nak makan karang, meleleh sampai ke siku. Haha!

5. Nampak tu, berkilat dan likat. Waktu ni masih panas, nanti dia sejuk, dia makin kental. Sabarlah sikit ya. Ketika ni masih sempat nak adjust kemasinan, kemasaman, dan kemanisan sos ni. Kalau nak rasa lebih kekacangan, tambah lagi minyak bijan.

6. Dah sejuk, saya letak dalam mason jar. Sapu atas hirisan sengkuang kita tadi. Ha, macam ni kejadian dia. Elok sungguh!. Tabur kacang tanah yang dah disangai, dan ditumbuk. Siapalah cipta snek ni? Hebat weh! Rangup, manis, masin dan berlemak. Sempurna! Chewah!.

Sengkuang Calit Dengan Sos Merah Original

Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan