Resepi Sambal Tamban Garing Spicy Viral
Kita tahu waktu PKP hari tu ramai yang ditimpa ujian. Ramai yang hilang pekerjaan. Saya tahu, amat peritnya ujian itu buat yang siapa yang menghadapinya.
Berbeza dengan saya, PKP hari tu Allah berikan saya rezeki yang berlipat ganda. Saya banyak habiskan masa dengan berniaga produk makanan secara on line. Ada 3 produk saya keluarkan secara serentak pada masa itu. Tak tahu dari mana datangnya kudrat dan tenaga. Semua dengan keizinanNya juga.
Salah satu produk yang sampai hari ini ramai yang masih bertanya “bila nak on balik tambatan hati spicy? Serius rindu air tangan yaya”. Serba salah dibuatnya bila ada soalan-soalan cepu emas begini. Bukan tak nak buat, saya terikat dengan kerja makan gaji. Itu kekangan besar buat saya.
Jadi hari ini, saya dengan seikhlas hati ingin berkongsi resepi buat rakan-rakan kat luar sana. Produk ini antara produk best seller saya musim PKP fasa 1 tempoh hari. Promot biasa-biasa je waktu tu.
Mana tahu, ada rakan-rakan saya yang hilang punca pendapatan boleh berniaga produk ini dari rumah. Saya tak dapat nak bantu dengan cara memberi wang ringgit, mungkin melalui resepi ini ia dapat membantu kalian. Insya Allah.
Tambatan Hati Spicy Yaya
Bahan Goreng Tamban:
- 500g ikan tamban (saiz paling halus)
- 6 senduk tepung gandum
- 3 senduk tepung jagung
- minyak untuk menggoreng
Bahan Bawang Goreng:
- 6 biji bawang besar/bawang kecil
- 3 senduk tepung gandum
- 1 senduk tepung jagung
- minyak untuk menggoreng
Sambal Garing:
- cili kering 500g (kuantiti boleh tambah ikot suka)
- Minyak masak untuk menumis
- Gula (agak-agak ikot tekak masing-masing)
- Asam keping
- perasa/pasti sedap/sesedap rasa
Cara Membuat:
1. Cuci ikan tamban dan toskan airnya. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung. Gaulkan rata-rata. Pastikan tepung menutupi keseluruhan badan ikan. Banyak mana nak letak tepung? Contoh, enam senduk tepung gandum, tiga senduk tepung jagung. Tepung gandum mesti lebih dari tepung jagung. Kalau tak, dia tak akan rangup dan tak kan tahan lama.
2. Panaskan minyak dan goreng ikan tamban yang sudah siap digaul dengan tepung tadi. Bila dah garing, angkat dan toskan minyak. Ketepikan dan sejukkan dulu.
3. Buat bawang goreng pulak. Parut bawang nipis-nipis begini. Kemudian gaulkan dengan tepung gandum dan tepung jagung. Contoh, tiga senduk tepung gandum, 1 senduk tepung jagung. Tepung gandum mesti lebih dari tepung jagung. Kalau tak, dia tak akan rangup dan tak kan tahan lama.
4. Kemudian gorengkan bawang yang dah siap berlumur tepung ke dalam minyak yang banyak. Bila dah kuning, angkat dan toskan minyak. Sejukkan dulu.
5. Ok, nak buat sambal dia pulak. Potong pendek-pendek cili kering dan rendam dulu dalam satu jam. Selepas satu jam, cuci dan toskan air.
6. Gorengkan cili kering selama 10 saat dalam minyak yang banyak. Pastikan cili kering kelihatan keras dan garing boleh angkat dan toskan minyak. Kisar cili kering yang dah digoreng tadi dengan blender kering. Tak perlu letak air.
7. Kemudian, tumis semula ke dalam minyak yang tak terlalu banyak. Masukkan asam keping, gula, perasa. Garam tak perlu letak. Tumis tak boleh terlalu lama sebab cili kering dah siap digoreng sebelum di blend. Kalau lama, dia akan hangit dan menjadi pahit. Bila dah kering, boleh tutupkan api dan sejukkan dulu.
8. Akhir sekali gaul ikan tamban yang dah siap digoreng tadi bersama bawang goreng dan sambal garing. Sebelum gaul, pastikan ikan, bawang dan sambal telah disejukkan dulu untuk ianya lebih rangup.
9. Tara! bila dah siap digaul. Boleh simpan dalam balang. Tahan 3 bulan. Inilah sumber pendapatan saya waktu PKP hari tu. Terima kasih buat kalian yang tak jemu membeli ketika itu.
Semoga resepi ini bermanfaat buat kalian. Selamat Mencuba.
Resepi Oleh: Cik Puan Yaya