Resepi Salad Ketam Mudah Tapi Sedap
Nak berkelah, tapi bosan sandwic sardin? Buat BBQ, dan nak hidangan sampingan selain dari coleslaw kobis? OK, kau orang boleh cuba buat salad ketam. Simple sahaja. Salad ni rasa dia lemak, zing (dari bawang Holland dan lemon), dan zesty (dari parutan kulit lemon). Mustard dan lada hitam beri rasa pedas. Memang nyaman dimakan begitu sahaja.
Bahan-Bahan: (hidangan 2-3 orang)
- 200g isi ketam/jejari ketam
- 1/2 bawang Holland
- 1 tangkai daun bawang
- 6 sudu besar mayonis
- 1/2 sudu kecil mustard
- 1/2 sudu kecil lada hitam
- 1/4 biji lemon
- 2 roti bun
- garam secukup rasa
Cara Membuat:
1. Isi ketam atau jejari ketam di rendam air panas 1 minit. Kemudian potong atau carik kepada saiz sesuai. Kalau nak tukar kepada isi udang atau lobster pun boleh. Masukkan bawang Holland yang dah didadu. Boleh ganti dengan bawang merah jika tiada bawang ni. Namun untuk salad ni, bawang Holland lebih sesuai.
2. Masukkan daun bawang. Kalau nak sedap lagi, masukkan saderi (celery). Alah yang Wonderpets suka makan tu. Baru ada rangup sikit. Tuang mayonis. Kalau ada krim masam (sour cream), guna sour cream. Sour cream lebih berlemak dan sedap.
3. Ini lemon zest, iaitu parutan kulit lemon. Pastikan basuh dulu kulit lemon sebelum parut. Perah jus lemon. Ini memberi rasa masam dan segar. Makanan laut macam ni, memang perlukan rasa masam agar tak berapa hanyir. Perasakan dengan garam dan lada hitam secukup rasa.
4. Letak sedikit mustard. Kalau tak ada pun tak apa. Dah letak semua ramuan ni, gaul sebati. Siap, dah boleh hidang!.
Boleh hidang dua cara. Makan begitu sahaja, atau letak dalam roti bun yang dah disapu mentega dan dibakar. Hidang pula dengan cip kentang yang rangup. Memang best makan sewaktu berkelah. Namun, bagi yang perlukan karbohidrat untuk rasa kenyang, maka letak atas roti paling sesuai. Tengok mayonis atas roti tu, fuh!
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan