Roti

Resepi Roti Berprotein Tinggi Dengan Inti Kacang Merah

resepi-roti-berprotein-tinggi-dengan-inti-kacang-merah

Resepi Roti Berprotein Tinggi Dengan Inti Kacang Merah

“Mama, boleh tak nanti mama buat roti berprotein tinggi dengan inti kacang merah?”. Saya rasa nak tergelak dengan permintaan bujang kecil di rumah ni.

Semasa Yahya kecil, saya suka buat urutan bayi kepadanya (baca: uli-uli) dan saya akan cakap, “Mama nak buat roti berprotein tinggi. Letak air suam, gula, yis, garam dan tepung. Uli, uli, uli dan rehatkan,” sambil saya gosok kaki dan tangan Yahya.

“Apabila tepung naik sekali ganda, uli lagi dan bentukkan,” saya silangkan tangan dan kakinya. “Rehatkan sekejap supaya naik semula,” saya peluk dia supaya tak dapat bergerak.

“Kemudian bakar sampai kuning keemasan. Siap dan boleh makan!” dan saya ‘makan’ perut, kaki dan tangannya. Sungguh, anak-anak ‘kutip’ apa yang kita cakap.

Roti yang berinti krim keju dan disapu za`atar saya belajar daripada Faizah Ummu Fatimah. Yang beliau buat comel-comel, semulut-semulut sahaja saiznya. Saya rasa yang saya buat dah comel. Namun apabila naik jadi besar macam saya.

Jika hendak jadi comel macam yang Faizah buat rasanya tepung hanya sebesar guli. Tak dayalah saya hendak menggentel sebesen doh besar guli. Bak kata pepatah, ukur baju badan sendiri. Setakat ini sahaja kesanggupan saya. Makan tiga biji, kenyang. Alhamdulillah.

Bahan-Bahan dan Cara Buat:

1. Kacang merah. Rendam semalaman kemudian rebus sehingga empuk. Boleh guna periuk tekanan (pressure cooker) atau periuk perlahan (slow cooker). Saya hanya masak dalam periuk nasi elektrik biasa (rice cooker). Tambah air 2 cawan – 2 cawan sehingga kacang empuk.

2. Masukkan kacang merah yang empuk ke dalam pengisar (blender). Bancuh 3 sudu makan gula merah dengan air panas dan tapis ke dalam blender. Tambah gula ising secukup rasa dan kisar sehingga jadi pes. Jika pes sedikit cair, panaskan sekejap untuk keringkan air dan simpan dalam peti sejuk supaya mudah diurus kemudian.

3. Adunan roti yang sudah direhatkan dan naik sekali ganda.

Bahan-bahan roti;

  • 1 1/2 cawan air suam-suam kuku
  • 2 sudu makan gula
  • 2 sudu teh yis segera (Mauripan)
  • 4 sudu makan susu tepung
  • 1 sudu teh garam
  • 1 biji telur
  • 2 sudu makan minyak
  • 3 cawan tepung gandum penuh (wholemeal)
  • 1 cawan tepung gandum/ secukupnya untuk membentuk doh.

Kaedah;

4. Masukkan air suam, gula, susu tepung dan yis. Biarkan yis aktif (permukaan susu berbuih). Masukkan garam, telur dan minyak. Kacau rata. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga doh terbentuk. Uli ~15 minit sehingga doh tidak lagi melekat.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Roti Manis

5. Bentukkan doh menjadi bola, sapu minyak keliling doh, tutup bekas dengan kain lembap dan rehatkan sehingga doh naik sekali ganda. Doh yang sudah naik, uli supaya bulat semula dan bahagi empat.

6. Ambil suku bahagian, bentukkan suku bahagian menjadi bulat. Kemudian, belah menjadi empat lagi. Dan setiap suku dibelah empat lagi. Jika mahu roti secomel yang Faizah buat, anda boleh bahagi setiap suku kecil kepada tiga atau empat lagi.

7. Seterusnya, Canai doh kepada bebola kecil. Letakkan inti. Saya belajar dengan Chef Sanjay Thumma, jika hendak puas makan makanan yang berinti, saiz inti mesti sama dengan saiz doh. Jadi saya guna satu sudu teh bumbun (heap) inti kacang merah.

8. Bakar roti yang naik semula selepas dibentuk dalam oven pada suhu 180°C/ 350°F selama 20 minit. Apabila roti nampak garing, cuba ketuk (tap) dengan jari/sudu. Jika bunyinya lompong, roti sudah masak.

9. Satu lagi yang saya belajar dengan Chef Sanjay Thumma untuk dapatkan roti yang cantik, lembut kulit luar walaupun sudah sehari adalah untuk menyapu roti yang baru keluar dengan mentega atau marjerin cair.

10. Dan daripada seorang pembuat roti yang belajar di Perancis, beliau nasihatkan supaya segera alihkan roti yang masak ke dulang kerajang (wired rack) supaya punggung roti tidak ‘berpeluh’. Apabila sudah sejuk ke suhu bilik, simpan dalam bekas kedap udara. Simpan roti dekat-dekat supaya mereka tidak cepat menjadi keras.

Resepi Roti Berprotein Tinggi Dengan Inti Kacang Merah

Resepi Oleh: Siti Hazneza binti Abdul Hamid