Resepi Puding Karamel Tanpa Telur Sedap
Puding Karamel Tanpa Telur ni sesuai untuk yang alergik telur atau tak suka rasa hanyir telur dalam puding.
Bahan-bahan pun mudah dan murah. Gandingan puding perisa vanila yang silky smooth dengan gula karamel memang sangat nikmat. Lembut je hasil puding karamel ini. Tidak perlu guna water bath pun tetapi tekstur sangat licin! Rasa puding tu sangat seimbang dengan rasa karamel.
Dah la tak guna telur, lepas tu hanya kena sejukkan dalam peti ais saja. Hanya perlu sediakan caramel, adunan puding dan sejukkan di peti ais. Tidak payah susah nak guna teknik water bath atau kukus. Sesuai untuk yang nak sediakan dessert dengan cepat. So kalau tetiba craving nak fast, simple yet tasty dessert boleh try resepi ni.
Kalau ada yang tanya mana sedap antara puding karamel yang guna telur dan tak guna telur ni. Pada Kak M dua-dua sedap. Mungkin sebab kak M memang penggemar dessert kot. Terpulang selera masing-masing. Kalau rasa puas hati nanti boleh la buat untuk tetamu pulak. Serious tak menyesal cuba resepi ni.
Bahan-Bahan:
Bahan Untuk Gula Karamel –
- 5 sudu besar gula
Bahan Untuk Puding –
- 1 paket agar-agar (10g)
- 1 tin susu cair
- 1/2 cawan susu pekat
- 4 mug air
- 2-3 titis stevia (resepi asal guna 3/4 cawan gula)
- 3 sudu besar tepung kastard
- 1 sudu kecil esen vanila
Cara Penyediaan:
Cara Untuk Gula Karamel –
1. Panaskan gula dalam loyang atas api perlahan hingga gula jadi keperangan.
2. Goyangkan loyang supaya gula caramel tadi sekata di sekeliling Loyang, ketepikan (kak M guna loyang saiz 8 inci).
Cara Buat Puding –
3. Satukan semua bahan untuk puding dalam periuk. Kacau bahan-bahan tadi atas api sederhana guna whisk atau senduk. Jangan bagi adunan berketul tau.
4. Kacau hingga adunan mendidih dan sedikit pekat. Tapis dan tuang ke dalam loyang berisi karamel tadi. Sejukkan sekejap dan masukkan ke dalam peti ais 3-4 jam sebelum dimakan.
Tips:
- Masa masak bahan puding, guna periuk yang tebal dan kacau selalu atas api perlahan supaya adunan tak mudah hangus kat bahagian bawah dan tak berketul.
- Kalau tak nak letak gula langsung untuk bancuhan puding pun boleh sebab karamel tu dah cukup manis. Kak M guna Stevia brand Eat Slim sebagai pengganti gula.
Resepi Oleh: Marina Ismail