Resepi Nasi Minyak ala Kantin Sekolah

Hari Jumaat, saya teringat pula Nasi Minyak yang dihidang setiap Khamis di asrama sekolah dulu. Beras biasa, ayam masak merah paling basic dengan sayur jelatah. Walaupun simple, tetap menggamit nostalgia. Saya kongsikan resepi step by step yang tidak menggunakan banyak bahan dan senang ini. Saya panggjl, “Nasi Minyak Kantin

Sebelum siapkan bahan nasi ni, perapkan satu ekor ayam yang sudah dipotong dan di basuh dengan garam dan serbuk kunyit.
Lepas itu, siapkan bahan nasi:

Bahan nasi minyak simple:

Satu sudu butter dan sedikit minyak
1 biji bawang besar hiris nipis
Kayu manis, buah pelaga, cengkih dan bunga lawang
Daun pandan (kalau ada) carik, ikat
Beras biasa 3 cawan
Stok ayam 2 cawan + susu segar 1 cawan
Garam dan 1/4 sudu kecil kunyit

Cara Memasak Nasi:

1. Kosek dan Rendam beras dalam 10 minit.

2. Saya gunakan periuk masak nasi untuk tumis bawang atas dapur gas. Panaskan minyak dan butter supaya butter tak hangus. Tumis bawang dengan rempah.

3. Bila bawang sudah menguning, masukkan daun pandan. Kacau sebentar, masukkan garam.

4. Tuang stok ayam + susu ke dalam periuk biarkan mendidih.

5. Masukkan beras yang sudah ditoskan, dan taburkan kunyit. Kacau hingga sebati.

6. Pindahkan periuk dari dapur ke periuk nasi. Bila mendidih, kacau beras dengan garfu. Bila air kering, kacau sekali lagi dengan garfu. Ini mengelakkan nasi dari berkerak.

Ayam Masak Merah:

Sementara nasi masak, kita goreng ayam yang sudah berperap garam kunyit tadi hingga kekuningan (1/2 atau 3/4 masak).

Sambil ayam sedang bergoreng, kita siapkan bahan tumis ayam.
Untuk di blend:

1 biji bawang besar
4 biji bawang putih
1 inci halia
2 batang serai
1 biji tomato
4 batang cili merah (kalau takde boleh blend sekali 2 sudu besar serbuk cili).
Kalau gunakan cili merah segar, buat pes cili menggunakan 1 sudu besar serbuk cili dengan sedikit air
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
Sedikit garam dan gula
Sedikit air

Cara Memasak:

1. Guna sedikit dari bekas minyak Goreng ayam tadi. Masukkan bahan blend, kacau sebentar.

2. Masukkan rempah tumis dan masak hingga pecah minyak. Masukkan pes cili dan masak lagi hingga semua bahan garing. Masukkan garam, sos tomato, sos cili. Kacau beberapa minit, biarkan mesra.

3. Tambah air, teruskan memasak hingga kuah pekat sedikit. Rasa, jika perlu adjust masin, manis masam.

4. Masukkan ayam. Gaul. Renihkan untuk 15-20 minit (api perlahan). Periuk bertutup. Jika kuah terlalu pekat, tambah air.

Sementara ayam merenih. Siapkan bahan jelatah:

1 batang timun (belah 4 memanjang dan hiris nipis)
1 batang carrot (belah 2 memanjang dan hiris nipis)
1/2 biji nenas, (hiris kecil)
1 biji bawang merah besar, belah 2, hiris.
2 batang lada merah dan hijau (kalau ada) hiris nipis.

Cara Buat:

1. Gaulkan sayur dengan garam. Biarkan sebentar.

2. Campurkan 1 camca kecil garam, 3 camca besar gula, 1/4 cawan cuka masak, 1/4 cawan air panas. Kacau hingga semua larut. Rasa dan adjust ikut rasa sendiri. Bilas dan tos kan sayur. Curahkan larutan cuka pada sayur. Biarkan 15-20 minit.

Penafian: Resepi dan gambar adalah hak milik Puan Ida Alina Salih yang dikongsikan dalam Group Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Anda boleh lawati laman Facebook beliau, Ida Alina Salleh.