
Tengah duk syok masak jiran blakang rumah duk jerit, “awal menggulai wan…” saya jawab “bau ke kak?”. Alamak jiran dah bau hahaha masak awal sebab wife nak gi skolah anak pagi ni dengan adik dia.. jadi kita bagi kenyang-kenyang dulu sebelum gerak. Buat pedas-pedas.. fuhhh berpeluh makan.
Resepi Masak Lemak Cili Api Ayam dan Nangka Muda
Bahan-Bahan:
1 ekor ayam – potong 16 dengan kulit sekali
1 biji kelapa parut – asing santan pekat dan cair
Garam
1 keping asam keping
1/2 helai daun kunyit – hiris halus (saya tak letak sebab takde)
Nangka Muda (rebus sampai lembut pastu toskan)
Bahan Tumbuk Halus –
5-8 tangkai cili api kampung hijau
5-8 tangkai cili merah
2 saiz ibu jari kunyit hidup
1 ulas bawang merah (ada yang tak letak tapi saya letak seulas)
Cara-cara:
1. Ayam diperap dengan garam dalam 30 minit hingga 1 jam. Tabur sedikit serbuk kunyit bagi tidak menjadikan ayam berwarna pucat.
2. Sementara itu, bolehlah menumbuk bahan tumbuk dan sediakan bahan bahan lain. Bahan tumbuk dihiris halus supaya senang menjadi lumat.
3. Masukkan ayam dalam periuk dan nyalakan api perlahan. Kacau sehingga kulit ayam nampak kering sedikit.
4. Masukkan bahan tumbuk dan kacau rata rata bersama ayam hingga sebati. Kacau rata sehingga bahan tumbuk agak masak.
5. Masukkan santan cair dan masak sehingga mendidih. Masukkan asam keping. Masukan nangka muda yang telah direbus tadi. Sebaik ayam empuk, masukkan daun kunyit yang dihiris halus.
6. Kemudian tambah santan pekat. Selepas masuk santan pekat, masak dalam 6-8 minit sahaja. Tutup api dan terus dikacau.
7. Kemudian buka api perlahan sahaja supaya kuah mendidih kecil supaya tiada buih buih dalam kuah. Sesuaikan rasa. Tambah garam, jika perlu.
8. Bila nampak kuah pekat dan terbit minyak cantik, bolehlah ditutup api dan sedia dihidangkan. Sedap dihidangkan ketika kuahnya tidak terlalu panas supaya terasa kepedasannya.
Resepi Oleh: Wan Muhammad Hafiz Satar