Resepi Makanan Korea Japchae Sedap Banyak Sayuran
Selalu orang keliru Japchae ni suhun ke?. Saya jawab bukan, Japchae ni hidangan yang menggunakan mi kaca (sweet potato glass noodles), secara fizikal lebih kurang suhun tapi dari bahan yang berbeza. Tekstur mi kaca ni lebih kenyal berbanding suhun yang sedikit halus. Boleh rujuk gambar.
Hari ni saya masak Japchae untuk bekal minum petang suami di tempat kerja. Rasa Japchae ni sedap sebab campuran sayur yang banyak. “Kalau saya nak cuba masak Japchae, tapi guna suhun tak boleh ke?” Boleh je, guna resepi yang sama tapi pastikan suhun yang dimasak tidak terlalu kembang.
Cara Membuat:
1. Mi kaca yg diambil separuh dari paket, rebus selama 5 minit. Sehingga lembut, angkat dan toskan. Letak tepi.
2. Campuran sayur mesti mempunyai 5 jenis warna yang pelbagai;
- Hijau – Sayur pak choi atau bayam, rebus dan toskan.
- Kuning – Telur ayam dimasak dadar.
- Jingga – Lobak merah, dihiris memanjang dan sangai di atas kuali dengan secubit garam.
- Putih – Bawang Holland, dihiris dan disangai.
- Hitam – Cendawan shitake/kulat hitam/daging perap kicap. Hiris memanjang masak.
3. Untuk bahan sos hitam:
- 3 sb kicap cair/masin
- 3 sb kicap pekat
- 2 sb sos tiram
- 2 sb minyak bijan
- 1 sb gula/gula perang
- 1 sk garam
4. Campurkan kesemua sekali dan masak di atas kuali sehingga sebati.
5. Tuangkan sos hitam ke atas mi kaca yang direbus tadi. Gaul sebat kemudian, masukkan campuran sayur tadi. Gaul rata sekali lagi.
6. Akhir sekali, tambah biji bijan yang telah disangai. Siap, boleh dibawa bekal.

Resepi Oleh: Zurina Zulkefli