
Resepi Homemade Milk Bread atau Roti Susu
Homemade Milk Bread. Menguli kembali, rindu pada rutin semasa hampir 6 tahun di Islamabad, Pakistan. Mengadun dan menguli roti merupakan keutamaan memandangkan dahulu roti tempatan kurang memenuhi citarasa hati.
Bahan A: Kering
- 4 cawan tepung gandum/tepung roti
- 1 sudu garam
- 1 sudu baking powder/serbuk penaik
Bahan B: Campuran Susu
- 1 cawan air suam
- 1/4 cawan susu kotak suam
- 3 sudu susu pekat manis
- 1 pek yis kering (Mauripan) – 11gm
Bahan C: Minyak
- 2 sudu minyak jagung
Bahan D: Glaze/Sapuan
- 1/4 cawan susu kotak – sapuan sebelum membakar
- 2 sudu butter/mentega – sapuan selepas membakar
Cara Membuat:
1. Satukan bahan campuran susu (Bahan B di dalam mangkuk, kacau rata dan biarkan sehingga yis kembang selama 7 ke 10 minit. Satukan semua bahan kering (Bahan A) didalam mangkuk uli. Gaulkan rata dengan spatula.
2. Campurkan campuran susu yis yang kembang ke dalam mangkuk uli bahan kering. Kacau dengan spatula sehingga sebati. Doh akan kelihatan lembik. Uli doh sehingga pejal dan tepung tidak melekat di tapak tangan.
3. Setelah doh tidak melekat, tambahkan Bahan C, minyak jagung. Uli doh sekali lagi sehingga rata dan tidak melekat. Sediakan bekas bertutup yang telah disapukan dengan minyak jagung. Simpan doh di dalam bekas bertutup tersebut di suhu bilik selama 30 minit. Doh akan kembang sekali ganda dari yang asal.
4. Kemudian, simpan doh tersebut di dalam peti sejuk (bahagian bawah) untuk tempoh 8 jam ke 10 jam. Keluarkan doh dari peti sejuk. Bahagikan doh kepada 9 bahagian dan terus bulatkan untuk disusun dalam loyang yang disapukan dengan minyak jagung.
5. Biarkan doh yang sudah disusun pada suhu bilik selama 30 minit atau doh kembang sekali ganda. Panaskan oven dengan api atas dan bawah selama 10 minit dengan suhu 170 celcius. Setelah doh kembang dan sedia untuk dibakar, sapukan susu di atas doh secara rata. Bakar selama 30 – 35 minit.
6. Keluarkan dari oven roti yang telah dibakar. Sapukan terus mentega di atas roti yang masih panas itu. Keluarkan roti dari loyang dan sedia untuk dihidangkan. Simpan roti yang telah disejukan dalam bekas kedap udara untuk roti yang kekal lembut.
Tip:
- Yis yang tidak mengembang selepas 5 minit bermakna yis tersebut rosak dan tidak boleh digunakan.
- Untuk rasa roti yang lebih manis, boleh tambahkan satu sudu gula di dalam campuran susu suam.
- Susun doh yang baru dibulatkan sedikit jarak antara satu sama lain untuk doh mengembang dgn cantik.
- Jangan ditekan doh dengan berus sapuan semasa sapuan susu. Pastikan susu tidak meleleh ditepi loyang yang akan menyebabkan roti melekat pada loyang nanti.
- Pembakaran roti bergantung kepada oven masing-masing.
Resepi Oleh: Shirlyna Hassan