Resepi Donut Lembut Gebu Macam Span Sukatan Cawan

Resepi Donut Lembut Gebu Macam Span Sukatan Cawan

Dah pernah share resepi donat ni, malam ni saja nak share lagi kalau-kalau ada penggemar donat lembut gebu kat dalam group kesayangan ni yang tertinggal resepi sebelum ni. Donat ni kuih feveret sikecik Aishah Humaira, anak saya yang bongsu, umur baru 3 tahun. Sekali makan boleh habis 2 biji donat gemok-gemok ni. Saya share resepinya ye.

Boleh guna tepung gandum sepenuhnya atau campuran tepung gandum dan tepung roti.
Boleh guna marjerin sepenuhnya atau campur dengan sedikit shortening (lemak sayur).
Ikut teknik uli roti, komfem donat lembut walau dah sejuk.

Bahan Perapan Yis:

  • 1 1/2 cawan air suam, isikan dalam gelas besar atau mangkuk. Nanti yis berbuih takut melimpah
  • 2 sudu makan gula pasir
  • 1 sudu makan yis Mauripan@Saf
  • 1 biji kuning telur gred A@B yang dibuang pusat, kacau-kacau dahulu (Rahsia lembut gebu dan tekstur isi donat tak kering)

– Satukan air suam dan gula, kacau hingga gula larut.
– Masukkan yis dan kacau-kacau sekejap, biarkan 15 minit atau hingga berbuih. Bila yis dah berbuih.. Campurkan kuning telur dan kacau sebati. Siap, dah boleh mula menguli tepung.

Bahan-Bahan Lain:

  • 4 cawan tepung gandum Bakers choice
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • 3 sd makan marjerin Pelangi
  • 2 sudu makan susu tepung Nespray
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 sd teh Bread Softener atau sebarang pelembut roti yang ada

– Ayakkan tepung, kemudian satukan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar atau talam besar.
– Sedikit air biasa jika perlu.
– Saya letak pelembut serbaguna Cream Super 1 sd makan rata.

Cara Membuat:

1. Gaul rata hingga sebati tepung bersama bahan-bahan lain dalam bekas besar marjerin. Tuangkan perapan yis yang dah berbuih, gaul rata dan uli hingga nampak seperti serbuk roti.

2. Masukkan marjerin dan terus uli hingga sebati. Tambah sedikit air jika doh terlalu keras dan rasa berat.Kalau dah rasa ok tak perlu tambah air lagi, ikut tahap resapan tepung. Doh mesti lembut melekit-lekit sedikit.

3. Terus uli dengan cara tarik tolak doh seperti memberus baju hingga doh yang melekit bertukar menjadi licin. Boleh juga masukkan doh ke dalam plastik bersih dan ramas-ramas sekali sekala picit-picit hingga doh menjadi licin dan tak melekit-lekit.

4. Keluarkan doh dari plastik dan terus uli lebih kurang setengah jam hingga doh licin, elastik dan terasa lembut ringan. Doh dah tak melekat-lekat pada tangan. Tutup bekas doh dengan tudungnya atau kain lembap atau plastik. Perap doh lebih kurang 1 jam hingga naik 3 kali ganda.

5. Apabila doh dah cantik kembang, tekan-tekan atau tumbuk perlahan untuk buang angin dan bentukkan dengan bentuk disukai. Samada bentuk donat biasa atau bentuk hati atau bentuk bunga. Sentiasa lumurkan tepung pada tangan supaya doh tak melekat-lekat pada tangan.

6. Dah siap bentuk, rehatkan lebih kurang 30 minit, bergantung suhu ruang. Dulang bekas letak donat mesti ditabur tepung agar donat tidak melekat pada dasar apabila hendak digoreng. Jangan sampai doh terover kembang tau, nanti donat mengecut lembik dan serap banyak minyak bila digoreng.

7. Panaskan minyak dan goreng donat dengan api sederhana perlahan, balikkan sekali atau 2 kali sahaja hingga masak kedua-dua bahagian untuk dapatkan ring putih pada sekeliling donat. Jangan kerap balik-balikkan donat nanti hilang ring putih tu.

8. Api pulak jangan kuat sangat nanti donat garing mengejut, luar nampak terlalu garing tapi dalam tak masak sepenuhnya. Ingat tu. Angkat donat dan toskan minyak, boleh lapik bekas dengan tisu dapur. Apabila donat dah sejuk atau suam bolehlah salutkan dengan gula atau susu tepung + gula atau coklat.

Bahan Gula Salut Donut:

  • 1/2 cawan Snow Powder atau Dusting Powder
  • Sedikit gula castor

Cara Buat: Satukan kedua-dua gula dan kacau rata, Letak donat dalam bekas besar bertutup rapat. Goncang perlahan-lahan hingga gula tersalut cantik.

Bahan Coklat Salut Donut:

  • 150 gm coklat compaun Beryls, lebih kurang sebesar tapak tangan kanak-kanak 10 tahun pun ok, cukup dah tu.
  • 2 sudu makan butter atau marjerin
  • 3 sudu makan susu cair atau susu segar

Cara Buat:

1. Guna kaedah double boil tau, jangan direct masak atas api dapur nanti coklat pahit. Pastikan jangan tercampur sedikit pun air dalam coklat, nanti coklat berketul-ketul, tak licin hasil coklat cair tu.

2. Mula-mula cairkan coklat, dah cair masukkan marjerin dan susu cair. Saya tambah 1 sudu makan susu pekat. Kacau sebati, siap. Biarkan sekejap atau boleh ja terus salutkan pada donat.

Nota: Resepi yang sama juga boleh digunakan untuk buat Burger Malaysia, Bentukkan bulat-bulat leper sedikit kemudian goreng. Belah jangan putus, kemudian isikan dengan Sambal Bilis dimasak kering sedikit, letak salad dan kepingan timun segar. Dapnye.

Guna Acuan Donut Macam Ni Untuk Bagi Donut Bulat dan Cantik >> KLIK DI SINI

Resepi Donut Lembut Gebu Macam Span Sukatan Cawan

Resepi Oleh: Zurina Kifli