
Mari Cuba Masakan Pakistan Ayam Karahi
Lepas masak makanan India-Cina, kita masak pula masakan Pakistan. Sekarang PKP 3.0, tak boleh jalan-jalan, jadi kita mengembara dunia menerusi gastronomi. Peh, ayat!.
Bahan-Bahan: (2-3 orang)
- 1/2 ekor ayam
- 1 biji tomato
- 2 ulas bawang putih
- 3 inci halia
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan Rempah:
- 1 tangkai cili hijau
- 1 sudu kecil serbuk paprika
- 1 sudu kecil serbuk ketumbar
- 1 sudu kecil serbuk jintan manis
- 1 sudu kecil garam masala
- 1 sudu kecil kunyit
- 1 tangkai daun ketumbar
Cara Memasak:
1. Ayam Karahi bukan sahaja popular Pakistan, malah di negara sekitarnya. Kalau lihat kejadianya, nampak macam rendang pun ada. Ayam ni basuh bersih. Goreng ayam yang telah di perasakan dengan garam. Tak payah goreng sampai garing. Goreng kilas je, sampai kulit dia kuning.
2. Kemudian masukkan tomato. Tomato ni tak perlu potong halus. Potong kasar je. Kita akan goreng tomato ni sampai isi dia lembut, dan kulit dia tertanggal. Sambil tu masukkan bawang putih dan halia yang dicincang atau disagat. Goreng kilas. Jangan henti gaul.
3. Ha! Nanti tomato tu hancur, dan isinya terpisah dari kulit. Kulit tomato tu nanti kita buang. Tomato kaya dengan monosodium glutamate. Ia akan memberi rasa umami pada masakan ni. OK, sekarang masukkan serbuk rempah ratus kita. Tambah sedikit air jika terlalu kering, kemudian masak sehingga rempah masak, dan kering. Jangan lupa letak garam dan gula.
4. Akhir sekali, masukkan cili hijau dan hirisan halia yang dipotong julien(memanjang). Masak sebentar dan dah boleh hidang. Ayam Karahi ni, 30 minit dah siap. Senang dan cepat je nak masak. OK ni dia! Ayam Karahi yang berempah! Jika kalian tak suka yang terlalu berempah, sebelum keluarkan kuali, masukkan sedikit mentega. Ia beri rasa lemak, dan meningkatkan selera.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan