Donat Lembut Gebu Macam Span Guna Sukatan Cawan

Donat Lembut Gebu Macam Span Guna Sukatan Cawan

Uli tangan pun boleh. In shaa Allah extra gebu dan extra lembut, dan yang penting kena rajin menguli hingga doh cantik. Bahan-bahan dalam sukatan cawan minum teh.

Bahan Perapan Yis:

  • 1 1/2 cawan air suam, isikan dalam gelas besar aatau mangkuk. Nanti yis berbuih takut melimpah.
  • 2 sudu makan gula pasir
  • 1 sudu makan yis Mauripan atau Saf
  • 1 atau 2 biji kuning telur gred A@B yang dibuang pusat, kacau-kacau dahulu (rahsia lembut gebu)
  1. Satukan air suam dan gula, kacau hingga gula larut.
  2. Masukkan yis dan kacau-kacau sekejap, biarkan selama 15 minit atau hingga berbuih. Bila yis dah berbuih, campurkan kuning telur dan kacau sebati. Siap.

Bahan-Bahan Lain:

  • 4 cawan tepung gandum
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • 2 sd makan shortening
  • 2 sd makan marjerin atau (Kalau tak ada Shortening boleh letak 3 sd makan marjerin, cairkan dan biar sejuk)
  • 2 atau 3 sudu makan susu tepung Nespray
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 sd teh Bread Softener atau sebarang pelembut roti yang ada.
  1. Saya guna 2 cawan tepung gandum + 2 cawan tepung high protein (tepung roti).
  2. Ayakkan tepung, kemudian satukan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar atau talam besar.
  3. Sedikit air biasa jika perlu.
  4. Saya letak pelembut serbaguna Cream Super

Cara Membuat:

1. Gaul rata hingga sebati tepung bersama bahan-bahan lain dalam bekas besar. Tuangkan perapan yis yang dah berbuih, gaul rata dan uli hingga sebati. Tambah sedikit air jika doh terlalu keras dan rasa berat. Kalau dah rasa ok tak perlu tambah air lagi, ikut tahap resapan tepung. Doh mesti lembut melekit-lekit sedikit.

2. Terus uli dengan cara tarik tolak doh seperti memberus baju hingga doh yang melekit bertukar menjadi licin. Boleh juga masukkan doh ke dalam plastik bersih dan ramas-ramas sekali sekala picit-picit hingga doh menjadi licin dan tak melekit-lekit.

3. Keluarkan doh dari plastik dan terus uli lebih kurang setengah jam hingga doh licin, elastik dan terasa lembut ringan. Doh dah tak melekat-lekat pada tangan. Tutup bekas doh dengan tudungnya atau kain lembap atau plastik. Perap doh lebih kurang 1 jam hingga naik 3 kali ganda.

4. Apabila doh dah cantik kembang, tekan-tekan atau tumbuk perlahan untuk buang angin dan bentukkan dengan bentuk disukai. Samada bentuk donat biasa, bentuk hati atau bentuk bunga. Sentiasa lumurkan tepung pada tangan supaya doh tak melekat-lekat pada tangan.

5. Dah siap bentuk, rehatkan lebih kurang 30 minit, bergantung suhu ruang. Dulang bekas letak donat mesti ditabur tepung agar donat tidak melekat pada dasar apabila hendak digoreng. Jangan sampai doh terover kembang tau, nanti donat mengecut lembik dan serap banyak minyak bila digoreng.

6. Panaskan minyak dan goreng donat dengan api sederhana perlahan, balikkan sekali atau 2 kali sahaja hingga masak kedua-dua bahagian untuk dapatkan ring putih pada tepi donat. Jangan kerap balik-balikkan donat nanti hilang ring putih tu.

7. Api pulak jangan kuat sangat nanti donat garing mengejut, luar nampak terlalu garing tapi dalam tak masak sepenuhnya. Ingat tu. Angkat donat dan toskan minyak, boleh lapik bekas dengan tisu dapur. Apabila donat dah suam bolehlah salutkan dengan gula atau susu tepung + gula atau coklat.

Gula Salut Donat:

  • 1/2 cawan Snow Powder atau Dusting Powder
  • Sedikit gula castor
  1. Satukan kedua-dua gula dan kacau rata, Letak donat dalam bekas besar bertutup rapat. Goncang perlahan-lahan hingga gula tersalut cantik.

Coklat Salut Donat:

  • 100 gm coklat compaun Beryls, lebih kurang sebesar tapak tangan kanak-kanak 10 tahun pun ok, cukup dah tu.
  • 2 sudu makan butter atau marjerin
  • 3 sudu makan susu cair atau susu segar
  1. Guna kaedah double boil tau, jangan direct masak atas api dapur. Pastikan jangan tercampur sedikit pun air dalam coklat, nanti tak cantik dan tak licin hasil coklat cair tu.
  2. Mula-mula cairkan coklat, dah cair masukkan marjerin dan susu cair. Saya tambah 1 sudu makan susu pekat. Kacau sebati, siap. Biarkan sekejap atau boleh ja terus salutkan pada donat.

Donat Gebu Uli Dengan Bread Maker:

Semua bahan-bahan saya letak sukatan yang sama KECUALI;

  1. Tepung gandum 250gm + tepung High Protein 250gm.
  2. Air sejuk dari peti ais 255ml-260ml, ikut tahap serapan tepung. Waktu bm tengah uli saya tekan-tekan dengan hujung jari dan tambah sedikit air jika doh rasa terlalu keras. Kalau doh keras komfem donat akan jadi keras, tak lembut gebu. Doh yang cantik mesti rasa ringan, lembut tapi tak melekit-lekit dan sejuk je.
  3. Kalau guna bm masukkan bahan basah dahulu diikuti bahan kering. Step rounding dan perap semua sama. Moga bermanfaat ye. Assalamualaikum semua.

Nota: Resepi yang sama juga boleh digunakan untuk buat Burger Malaysia. Bentukkan bulat-bulat leper sedikit kemudian goreng. Belah jangan putus, kemudian isikan dengan Sambal Bilis dimasak kering sedikit, letak salad dan kepingan timun segar.

Guna Acuan Donut Macam Ni Untuk Bagi Donut Bulat dan Cantik >> KLIK DI SINI

Donat Lembut Gebu Macam Span Guna Sukatan Cawan

Resepi Oleh: Zurina Kifli