
Ayam Geprek Rangup Lengkap Dengan Sambal Pedas
Hari ni masih cuti, masak lauk yang mudah, yang tak leceh. Ayam Geprek sahaja dah lah. Lagipun, hidangan ni kira hidangan lengkap, siap ada sayur lagi.
Bahan-Bahan: (2 orang makan)
- 2 bahagian peha serta pinggul ayam
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan tepung jagung
- 1 sudu besar serbuk paprika
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- 1 sudu besar serbuk ketumbar
- 2 keping tempe
- 2 keping tauhu
- 2 biji limau kasturi
- 2 biji cili merah
- 5 biji cili padi
- 2 ulas bawang putih
- 1 genggam kacang gajus/tanah
- 1 sudu kecil minyak bijan
- 1-2 batang kacang panjang
- gula dan dan garam secukupnya
Cara Membuat:
1. Ayam ni bahagian pinggul dan paha. Saya dah buang tulang sebab nak elakkan ayam tak masak. Kalau pergi pasar, boleh minta penjual ayam tu buangkan. Cakap pada dia potong potongan chicken chop.
2. Ni bahan-bahan untuk saluran tepung. Saya guna tepung gandum, tepung jagung, paprika, kunyit jintan, dan garam. Kalau nak tambah rempah lain seperti lada hitam, serbuk jintan dan sebagainya, silakan.
3. Letak ayam atas campuran bahan salutan tepung yang telah digaul sebati. Kemudian kambus ayam tu! Tepuk-tepuk sikit. Urut-urut ayam bersama tepung dan angkat ayam keluar. Sekarang celup sekilas dalam air sejuk. Ada orang guna telur. Saya pakai air je. Terpulang kalian nak ikut yang mana. Proses ni untuk dapatkan salutan tepung yang lebih tebal.
4. Golek lagi atas tepung tadi. Tepuk lagi. Urut lagi. Nanti akan dapat salutan tepung yang tebal. Ni kira dah OK. Kalau nak tebal lagi, boleh celup air lagi, kemudian salut lagi tepung ni. Dah puas bedakkan ayam. Masuk dalam kuali yang berisi minyak panas. Goreng 5 minit setiap sisi, atau sampai kau orang yakin ayam dah masak.
5. Nampak ni! Gebu dan rangup. Warna pun cantik. Ada sikit macam ayam KFC. Yang ori, bukan yang spicy. Apapun, jangan tunjuk anak-anak! Nanti tak sempat jadi ayam geprek!.
6. OK ni bahan nak buat sambal dia, cili-cili, bawang putih dan kacang. Bilangan cili terpulang pada citarasa masing-masing. Nak pedas berapi letak banyak. Bahan ni kita potong dan goreng sekejap.
7. Lepas tu kita tumbuk, ulek-ulek lah bahan-bahan tadi guna cobek atau lesong. Bila dah nampak lumat sikit, letaklah garam, gula (atau gula melaka), dan sedikit minyak bijan. Seimbangkan semuanya.
8. Akhir sekali perah jus limau kasturi! OK dah siap sambalnya. Sekarang dah boleh hidang!. Potong ayam. Lumur sambal. Susun tempe goreng dan kacang panjang yang telah dicelur. Perah limau kasturi sebagai pembangkit selera. Mencurah air liur dah ni. Ayam rangup, sambal pedas, limau masam. Syurga!
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan