Resipi Rendang Pedas Ayam Perak Rasa Berempah
Ketika Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun yang lalu, iaitu ketika masih dalam tempoh PKP, saya pernah kongsikan resipi rendang pedas Perak ini. Pada masa itu, saya menggunakan daging.
Tahun ini, setelah berfikir 4-5 kali, saya mengambil keputusan untuk menyediakan semula rendang yang paling saya gemari ini kerana mempunyai serat ‘kasar’ yang banyak hasil dari bahan-bahan rempah yang dihiris. Cara memasaknya sangat mudah. Rendangnya tidak menggunakan minyak masak dan tidak perlu ditumis. Tetapi, memerlukan kerajinan dan ketelitian tahap maksimum untuk menghiris bahan-bahan rempah seperti bawang kecil, serai, halia dan lengkuas.
Ada beberapa cara yang disyorkan untuk memasak rendang ini. Sekiranya menggunakan daging lembu, ayam kampung atau ayam pencen, boleh masukkan terus pada peringkat permulaan bersama dengan bahan-bahan rempah dan masak sehingga daging atau ayam tersebut empuk. Manakala, jika menggunakan ayam biasa, boleh masukkan terus pada peringkat permulaan dan masak sehingga ayam 3/4 masak sebelum dikeluarkan dan dimasukkan semula setelah kuah rendang hampir kering. Cara yang biasa saya lakukan pula ialah keringkan 50-60% kuah rendang terlebih dahulu sebelum masukkan potongan ayam dan tidak perlu keluarkan ayam pada pertengahan proses memasak. Kalian perlu cuba resipi ini untuk merasai kelainan dari segi rasa dan teksturnya. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan:
- 30 ulas bawang kecil*
- 15 batang serai*
- 6 inci halia*
- 3 inci lengkuas*
- 30-45 tangkai cili kering (rebus & buang biji)**
- 3 inci kunyit**
- 1 biji (200 g) kelapa parut (bahagian putih)
- 4 1/2 cawan (1125 ml) santan pekat
- 1 1/2 ekor (15 ketul potongan) ayam
- 3 keping asam gelugur
- 1/2 ketul gula melaka (saiz besar)
- Garam secukupnya
- 3 helai daun kunyit (saiz sederhana)
Cara Penyediaan:
1. Hiris atau sagat nipis kesemua bahan yang bertanda (*). Kisar bahan-bahan yang bertanda (**). Masukkan kelapa parut ke dalam kuali. Goreng kelapa tanpa minyak sehingga terbit bau kekacang (nutty smell).
2. Masukkan pula bahan-bahan yang telah dihiris dan dikisar serta santan pekat dalam kuali. Masak dengan api sederhana sehingga kuahnya berkurangan lebih kurang 1/2 dari kuantiti asal. Kacau sesekali untuk mengelakkan bahan-bahan rempah melekat pada dasar kuali dan hangit.
3. Selepas itu, masukkan potongan ayam yang telah dibersih dan dituskan. Kacau rata. Masukkan pula asam gelugur, hirisan gula Melaka dan garam. Masak sehingga rendang pecah minyak, warnanya bertukar menjadi perang keemasan dan kering mengikut citarasa masing-masing. Sesekali, kaup balik ayam supaya tiada bahan rempah yang hangit pada dasar kuali.
4. Akhir sekali, taburkan hirisan daun kunyit. Kaup balik ayam sekejap dan rendang sedia untuk dihidangkan bersama dengan lemang, ketupat atau nasi.
Nota: Jangan panik sekiranya kuah rendang menjadi seperti gulai setelah memasukkan ayam. Banyakkan bersabar dan teruskan memasak sehingga kuahnya berkurangan dan kering.
Ramai Yang Dah Cuba Daging Dendeng Premium Ni, Memang Sedap! >> KLIK DI SINI

Resipi Oleh: Noor Ashikin Saerah


