Resipi Kek Marble Coklat Pandan Menjadi Elok

Resipi Kek Marble Coklat Pandan Menjadi Elok

Saya buat kek ini hujung minggu yang lalu untuk dijadikan buah tangan buat rakan baru saya di media sosial yang telah menjemput saya ke rumah terbuka yang dianjurkannya. Orangnya sangat peramah dan membuatkan saya tidak kekok ketika berada di sana walaupun baru pertama kali bertemu di luar media sosial.

Resipi kek ini sebenarnya hampir sama dengan resipi kek mentega yang lain. Cuma saya olah semula resipi asal yang merupakan ‘keeper recipe’ saya supaya sesuai untuk menghasilkan dua biji kek ‘loaf’ yang bersaiz 7x3x3 inci. Satu untuk saya dan satu lagi untuk dijadikan buah tangan. Saya hanya menggunakan serbuk koko dan enapan pandan sebagai bahan perisa dan pewarna untuk kek ini. Seperti biasa, saya berpuas hati dengan rasa dan warna yang terhasil. Cuma, saya tersalah menggunakan pisau yang betul untuk memotong kek ketika keadaannya masih sejuk. Itulah sebabnya potongan kek saya kelihatan tidak kemas dan ‘menyakitkan mata’.

Rekahan yang terhasil pada permukaan kek ini tidak terhasil secara semulajadi. Saya suka melihat rekahan tersebut. Ianya kemas dan tidak senget benget. Langkah ini tidaklah wajib untuk dibuat dan terpulang kepada minat serta citarasa masing-masing. Selamat mencuba.

Bahan-Bahan (2 buah loyang ‘loaf’ yang berkuran 7x3x3 inci):

  • 300 g mentega tanpa garam
  • 200 gula kastor
  • 300 g telur (tanpa kulit)/ 5 biji telur (A)
  • 260 g tepung kek
  • 2 1/2 sdt serbuk penaik
  • 1/2 sdt garam halus
  • 5 sdb susu penuh krim
  • 20 g tepung kek
  • 2 1/2 sdb enapan pandan
  • 20 g serbuk koko
  • 2 1/2 sdb susu penuh krim

Cara Penyediaan:

1. Sediakan 2 buah loyang ‘loaf’ yang berukuran 7’x3’x3′. Alaskan dengan kertas pembakar. Panaskan ketuhar pada suhu 160C/170C.

2. Pukul mentega dan gula kastor dengan kelajuan paling tinggi selama 5-7 minit atau sehingga warnanya pucat dan berkrim dengan menggunakan pengadun tangan (hand mixer). Masukkan telur satu per satu. Pukul selama 1 minit untuk setiap telur dengan kelajuan paling tinggi.

3. Masukkan bahan kering (ayak) – cecair – bahan kering (ayak). Pukul dengan kelajuan paling rendah sehingga sebati atau boleh juga menggunakan spatula. Bahagikan adunan kek kepada 2 bahagian.

4. Masukkan tepung kek serta enapan pandan pada 1 bahagian dan masukkan pula serbuk koko serta susu penuh krim pada 1 bahagian lagi. Kaup balik sehingga sebati. Masukkan adunan kek secara berselang seli ke dalam loyang. Lorek adunan kek untuk menghasilkan efek ‘marble’.

5. Bakar adunan kek pada suhu 160C/170C selama 50-55 minit atau sehingga kek masak, api atas dan bawah (tutup kipas) di rak tengah ketuhar. Selepas 20 minit dari masa mula membakar, keluarkan kek dari ketuhar dan kelar (slit) permukaan kek dengan pisau untuk mendapatkan kesan merekah (pilihan).

6. Setelah kek masak, sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong supaya dapat menghasilkan potongan kek yang kemas.

Nota:

  • Saya bakar kek pada suhu 165-170C untuk mendapatkan kesan perang pada bahagian luar kek. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
  • Dalam resipi ini, saya timbang dan sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik.

Peminat Kek Marble, Boleh Cuba Kek Marble 4 Benua Ni >> KLIK DI SINI

Resipi Kek Marble Coklat Pandan Menjadi Elok

Resipi Oleh: Noor Ashikin Saerah