Resipi Ayam Teriyaki Dengan Salad Pedas Timun
Kadang-kadang rasa makanan Jepun mudah apabila kehabisan idea hendak mereka menu di dapur. Malam ini diilhamkan buat ayam teriyaki dengan salad pedas timun pilin. Alhamdulillah.
Nasi putih panas-panas makan dengan ayam teriyaki yang manis-manis berempah dan salad pedas timun pilin (spiral). Allahu akbar!
Bahan-Bahan dan Cara Membuat Ayam Teriyaki:
- 1/2 ekor ayam bahagian dada dan sayap – potong kecil
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu teh serbuk lada putih
- 1 sudu makan tepung ubi kayu/tepung gandum
- 1 sudu makan air
1. Gaul semua bahan sehingga rata. Goreng ayam sehingga tepung berubah warna. Tidak perlu terlalu garing. Kaedah ini hanya untuk menghalang isi ayam menjadi kering semasa dimasak. Isi dada sangat cepat kering dan jadi berserat.
2. Sos teriyaki;
- 4 sudu makan halia-bawang mesin
- 4 sudu makan madu
- 4 sudu makan kicap lemak manis
- 4 sudu makan kicap cair (masin)
- 1 sudu makan minyak bijan (jika mahu)
- 1 cawan air/ikut kepekatan yang dikehendaki
Panaskan sehingga mendapat kepekatan yang dikehendaki. Boleh tambah bancuhan 1 sudu makan air + 1 sudu teh tepung jagung/tepung gandum jika mahu kuah yang lebih pekat dan berpalut.
3. Masukkan ayam yang sudah digoreng dan masak sehingga kuah melekat pada ayam atau sehingga kuah berkilat (jika letak tepung). Jika anda suka kuah yang lebih cair, tiada masalah.

Bahan dan Cara Buat Salad Timun:
4. Untuk buat timun pilin (spiral), kupas timun (jika mahu) dan letakkan timun di antara dua batang chopstick. Hiris timun pada sudut 45°. Ketebalan hirisan mengikut selera anda. Setelah selesai hirisan 45°, pusing timun dan hiris lurus.
5. Tak perlu bahan yang macam-macam. Hanya masukkan sos cili, kicap lemak manis dan bijan panggang. Gaul semuanya secukup rasa.

6. Hidangkan;
Nasi putih dihias dengan bijan hitam
Ayam teriyaki
Salad pedas timun pilin
Bismillah. Jom buat. Anak-anak seronok makan timun spring 😅 jika tak mahu pedas, letak garam-gula-cuka pun dah sedap.
Nak Cepat dan Mudah, Boleh Guna Sos Teriyaki Segera Ni >> KLIK DI SINI

Resipi Oleh: Siti Hazneza binti Abdul Hamid


