Resepi Roti Puri Kentang Tanpa Yis
Lunch untuk saya, siap dah roti puri kentang. Alhamdulillah kembung helok, untuk resepi roti puri ni tak perlu yis ye. Roti puri kentang & sambal tumis sardin.. bismillah.
Bahan-Bahan: 7-8 orang makan
- 1/2kg tepung gandum (ayak 1 round)*
- 3 biji kentang direbus hingga empuk – dilenyek lumat*
- 1 sudu kecil garam halus*
- 1 sudu kecil gula pasir halus*
- 1 sudu kecil rempah kari daging*
- 1 sudu kecil lada sulah*
- 2 tangkai daun kari (cincang halus daun )*
- Sedikit daun ketumbar (cincang halus)* – optional
- 1/4 cawan minyak jagung*
- Air untuk menguli secukupnya
Cara Buat:
1. Satukan semua bahan-bahan yang bertanda (*). Gaulkan hingga betul-betul sebati. Setelah sebati masukkan air sedikit demi sedikit sambil uli doh. Teruskan masukkan air serta uli sehingga doh tak melekat di tangan.
2. Setelah itu, bentukkan doh menjadi bebola sederhana besar (apa pun terpulang pada anda nak size bebola doh sebesar mana) dan perap doh lebih kurang 30-40 minit sebelum dicanai.
3. Sediakan papan pencanai serta kayu penggelek, sapukan sedikit tepung gandum atas papan pencanai serta penggelek bagi memudahkan proses mencanai serta doh tak melekat-lekat. Canai doh menjadi bulatan leper, jangan terlalu nipis atau terlalu tebal ye.
4. Panaskan minyak masak secukupnya dalam kuali, goreng doh satu demi satu sambil siram-siramkan minyak atas gorengan doh tersebut supaya roti akan naik kembung. Goreng roti hingga masak secukupnya. Angkat dan toskan atas tisu dapur, sedia untuk dinikmati.
Siap Resepi Roti Puri Kentang Tanpa Yis, enak dinikmati bersama Kuah Dhal atau Kari Ayam.

Resepi Oleh: Adnil Sam