
Resepi Penuh Nasi Paku atau Nasi Sumatera
Nak saya pecahkan rahsia. Nak buat jual pun saya halalkan. Ramai respons yang berminat nak resepi lengkap semalam. Buat yang tak pernah makan atau belum tahu kewujudan nasi ini, kawan-kawan kena cuba masak. Kemasyhurannya satu ketika dulu boleh buat saya teringat-ingat sampai sekarang.
Dah siap masak, nanti bungkus dan gantikan getah dengan selitan paku pada luar bahagian kertas pembungkus nasi. Begitulah sedikit sebanyak nasi ini diperkenalkan di negeri Kelantan.
Semua resepi di bawah saya ringkaskan.
A. Gulai Kerutuk Cikgu Afy
Pes Bahan Kisar: Anggaran bahan untuk 1/2 kilo daging.
- -3 biji bawang merah saiz bola pingpong
- -1 ulas bawang putih
- 2 hiris bulat serai
- -sehiris nipis halia
- -sehiris nipis lengkuas
- -1/2 sudu kecil jintan putih+ 1/2 sudu kecil rempah ketumbar -3 biji bawang merah saiz bola pingpong
- -1 ulas bawang putih
+ Kisar semua bahan di atas hingga lumat.
Cara-cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Tumis 4 sekawan. Seterusnya masukkan bahan kisar tadi. Masukkan pula 1 sudu besar cili kisar.
2. Masukkan 3 1/2 sudu besar rempah kerutuk timbang Kelantan. Kacau menggunakan api perlahan sehingga terbit minyak. Barulah ditambahkan dengan 1/2 cawan air.
3. Masukkan pula perasa peringkat pertama. Sedikit garam, nise Kelantan/gula dan secukup rasa.
4. Daging 1/2 kilo yang dipotong nipis dan sedikit lebar pula dimasukkan. Kacau rata sebelum periuk ditutup. Biarkan selama 40 minit menggunakan api yang perlahan.
5. Selepas itu, tambahkan pula 1 sudu besar kerisik. Kemudian masukkan santan 1/2 cawan. Tambahkan sedikit air.
6. Tambahkan perisa peringkat kedua hingga cukup rasa. Renehkan lagi dengan api perlahan lebih kurang 30 minit untuk rasa yang lebih menyerlah sebelum ditutup apinya.

B. Ayam Goreng Berempah
Saya ubahsuai dari resepi asal yang menggunakan serbuk segera. Boleh sahaja guna resepi di bawah.
Bahan-Bahan: Untuk 5 ketul ayam
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- 1 sudu besar rempah kari
- 1/2 sudu besar cili kisar
- 1/2 sudu kecil perencah/ajinomoto
- 1/2 sudu besar garam
- secubit gula
- 2 batang serai dan 2 hiris halia (kisar)
Cara Masak:
1. Kacau semua bahan sehingga lumat. Masukkan 1/2 biji telur dan 1 sudu gandum.
2. Perapkan bahan dengan ayam yang digoreng selama 30 minit. Kemudian goreng sehingga keemasan.

C. Sambal Paru Dendeng
1. Sediakan sambal nasi lemak seperti biasa. Untuk 1/2 kg paru, ambil 3 sudip dari sambal tersebut.
2. Masukkan;
- 2 genggam bawang goreng
- 2 tangkai daun kari, 1 batang serai diketuk, 3 helai limau purut ( semuanya digoreng terlebih dahulu)
- 1 sudip kicap lemak manis.
Kacau sebati.
3. Kemudian, masukkan paru yang telah digoreng terlebih dahulu. Gaul mesra. Siap!

D. Sayur Goreng Kunyit
1. Tumbuk bahan di bawah;
- 2 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 3 tangkai cili padi
2. Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan tumbuk tadi sehingga naik bau. Masukkan juga 1 sudu kecil serbuk kunyit dan sedikit lada sulah. Tambahkan sedikit air.
3. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masukkan sayur kubis yang telah dihiris halus. Biarkan sehingga sayur kubis masak.
4. Akhir sekali masukkan taugeh dan timun batang yang telah dipotong kecil. Siap.
Selamat mencuba resepi penuh nasi paku atau nasi sumatera.

Resepi Oleh: Afy AL Habibi