Nasi

Resepi Nasi Mandi Kambing Seperti di Restoren Nasi Arab

resepi-nasi-mandi-kambing

Hari Ahad di Malaysia, mungkin ada yang nak masak lain sedikit? Saya siapkan Nasi Mandi Kambing untuk keluarga hari ini. Saya belajar sewaktu kami menetap di Arab Saudi dan merupakan antara masakan kegemaran keluarga. Resepi dan cara step by step pada gambar.

Nasi Mandi Kambing dengan hidangan sampingan, sayur Jarjeer (Wild atau Sweet Rocket), bawang, lada hijau dan lemon; salata hara dan salad timun dan yogurt. 

Mula-mula kita siapkan daging:

1/2 kaki Kambing dengan tulang di potong selebar 1/2 tapak tangan,
1 biji bawang besar (belah 4)
1 biji tomato (belah 4)
3 helai bay leaves (saya guna fresh kalau tak ada, guna yang kering)
Kulit kayu manis,
3 cengkih
3 biji buah pelaga
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1/2 sudu kecil lada hitam bulat-bulat
Secubit saffron / koma-koma
Sedikit garam.
Air sekadar menenggelamkan daging

Satukan kesemuanya dalam pressure cooker. Rebus hingga daging lembut.

Keluarkan daging yang sudah lembut, toskan. Renjis dengan sedikit minyak zaitun dan air rebusan tadi. Bakar dalam oven 160 darjah Celsius hingga kekuningan dan ada bahagian yang sedikit garing. Balikkan daging, selepas 15 minit. Renjiskan dengan sedikit air rebusan lagi jika terlalu kering, matikan api.

Siapkan Bahan Nasi:

3 1/2 cawan beras basmati yang direndam selama 10-15 minit.
Sebiji bawang Holland, dihiris nipis
Kulit kayu manis, 3 buah pelaga, 3 bunga cengkih, 3 helai bay leaves (segar atau kering)
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1/2 sudu kecil lada hitam bulat-bulat
2 batang lada hijau dipatah-patahkan
Sedikit daun ketumbar,
5 cawan air rebusan daging Kambing
Sedikit minyak zaitun
Secubit saffron/koma-koma

Tumis bawang yang dihiris dengan sedikit minyak zaitun. Apabila bawang keperangan, masukkan rempah-rempah.

Apabila rempah telah wangi, masukkan bay leaves dan lada hijau, kacau.

Masukkan air rebusan, garam dan saffron/koma-koma. Biarkan mendidih.

Toskan beras dan masukkan dalam periuk. Masukkan sedikit daun ketumbar. Masukkan periuk kedalam cooker, dan masak nasi seperti biasa.

Sementara itu bakar arang atas dapur sehingga menjadi bara.

Letakkan minyak zaitun atau minyak masak (dalam 2 sudu besar) ke dalam mangkuk tahan panas atau buat bekas dengan gunakan aluminium foil.) Bila air nasi sudah kering, dan arang sudah jadi bara, letakkan mangkuk berisi minyak zaitun dalam periuk nasi. Dengan hati-hati, letak bara dalam mangkuk minyak zaitun. Bara akan mengeluarkan banyak asap kerana terkena minyak.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Nasi Briyani Seafood (Udang & Ikan Tenggiri)

Tutup periuk dengan foil aluminum supaya asap tidak keluar. Letak penutup periuk di atas foil aluminum. Ketika ini, rumah akan berbau seperti restoran nasi Arab di Saudi ?. Biarkan nasi diasap seberapa lama yang diperlukan.

Sementara itu kita siapkan salata hara:

5 biji tomato masak ranum
2 ulas bawang putih
2 batang lada hijau
3 batang cili api (lebih jika mahu pedas)
1/2 genggam daun ketumbar
Jus dari sebiji limau nipis
Garam dan sedikit gula

Letak kesemuanya (kecuali limau nipis) dalam blender. Blend hingga halus.

Letak salata hara dalam mangkuk. Perah limau nipis. Rasa. Tambah garam, gula, jus limau nipis jika perlu.

Siapkan salad timun beryogurt:

1/2 timun di dadu
1 sudu besar daun pudina segar yang dihiris
2 sudu besar yogurt
Garam dan serbuk lada hitam.
Campurkan kesemua bahan hingga rata.

Letakkan daun rocket (selalu ada di pasaraya besar). Jika tak ada, gantikan dengan daun salad. Hiris baji bawang Holland, patah-patahkan lada hijau dan hiris sedikit lemon untuk diperah atas Kambing jika suka.

Inilah hidang sampingan.

Hidangkan nasi dengan daging kambing yang sudah dipanggang. Jemput makan.

Penafian: Resepi dan gambar adalah hak milik Puan Ida Alina Salih yang dikongsikan dalam Group Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Anda boleh lawati laman Facebook beliau, Ida Alina Salleh.