Ayam, Nasi

Resepi Nasi Ayam Sos Lemon

resepi-nasi-ayam-sos-lemon

Yang bosan makan nasi ayam biasa, boleh cuba resepi ini. Ada sedikit bahan untuk penyediaan sos saya olah mengikut citarasa sendiri. Suka sangat gabungannya yang menjadi.

Resepi Nasi Ayam Sos Lemon

Untuk resepi Nasi Ayam Pusa Gold Planta:

1. Basuh beras dalam penapis.

2. Tumis Planta secukupnya. Masukkan 2 ulas bawang putih yang dihiris nipis dan 3 sekawan.

3. Setelah bawang garing, masukkan 3 hirisan halia, 2 helai daun pandan dan 1 batang serai yang diketuk.

4. Masukkan beras yang ditoskan tadi. Kacau seketika sebelum ditutup apinya.

5. Masukkan beras tadi dalam periuk nasi. Tambahkan sup secukupnya mengikut sukatan yang betul.

6. Masak nasi seperti biasa. Selepas nasi masak, boleh tambahkan sedikit lagi Planta untuk rasa yang lebih sedap.

Resepi Sup Ayam Ringkas:

1. Tumis 2 ulas bawang putih yang dihiris nipis hingga kekuningan.

2. Masukkan 3 hirisan halia. Masuk sekali 1 sudu besar serbuk lada sulah dan 1 kiub pati ayam.

3. Pilih sedikit bahagian ayam yang bertulang. Biarkan sehingga ayam mengeluarkan minyaknya sendiri. Kemudian masukkan 5-6 cawan air.

4. Setelah mendidih, perasakan dengan garam. Boleh masukkan bebola untuk penambahan rasa. Tutup api selepas rasa sebati.

Resepi Air Cili:

1. Kisar hancur 3 tangkai lada merah, 1 tangkai daun ketumbar dan 1/4 tomato.

2. Masukkan dalam periuk. Tambahkan 2 senduk sup ayam. Guna api perlahan sahaja.

3. Tambahkan 3 sudu besar cili sos Thai dan 1/2 sudu halia parut.

4. Tambahkan garam gula sekiranya perlu. Tutup api selepas sos mula mendidih perlahan.

Resepi Sos Kicap:

1. Ambil 2 senduk sup. Tambahkan 1/2 senduk kicap Jalen Lemak Manis dan 2 hirisan halia, 1 ulas bawang putih yang diketuk dan 1 sudu kecil sos ikan.

2. Tambahkan sedikit perasa. Tutup api selepas sos mendidih perlahan.

Resepi Ayam Goreng Crispy:

1. Hiris nipis 1 ketul dada ayam

2. Perapkan bersama bahan dalam gambar (gandakan untuk depan belakang).

* 1 sudu besar sunquick
* 1/2 sudu kecil kicap Jalen
* 1 titik sos ikan
* secubit garam
* secubit perasa
* 1/2 sudu kecil lada sulah
* secubit lada hitam kisar

3. Lumurkan putih telur. Lumurkan tepung goreng ayam depan belakang (boleh guna Tepung Bestari original/ tepung jagung dengan serbuk roti putih). Perap selama 1 jam.

4. Panaskan minyak. Sebelum digoreng, golekkan lagi sekali dalam tepung ayam goreng kering (kalau nak kulit luar tebal, boleh ulang 2 kali).

5. Goreng dalam api sederhana perlahan sahaja supaya isinya tidak kering dan masak sekata. Kepingan isi ayam goreng yang sedia untuk ditoskan.

Resepi Sos Madu Lemon:

1. Cedok 2 senduk sup ayam. Masukkan dalam periuk lain. Tambahkan 1/2 senduk sunquick dan 1/2 sudu besar perahan buah lemon. Masukkan 1 sudu besar madu.

2. Tuang bancuhan air tepung jagung (1 sudu besar tepung jagung +1 senduk sup ayam). Masukkan secubit garam/secukup rasa.

3. Masukkan hirisan lemon tanpa biji setelah kuah mula suam. Siap untuk kuah sos lemon yang lazat.

4. Bila sos sejuk, bolehlah dituang atas ayam. Taburkan sedikit bijan yang telah disangai.

Penafian: Resepi dan gambar adalah hak milik Afy AL Habibi yang dikongsikan dalam Group Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Anda boleh lawati laman Facebook beliau.