Resepi Kuih Badak Berendam Cukup Rasa Lemak Manisnya
Siapa suka kuih badak berendam kita geng! Sebenarnya dah lama sangat teringin nak buat kuih ni. Tapi rasa macam remeh sangat nak membuanya. Resepi ni Mak kak M cakap sedap yakmat! Cukup rasa manis, lemak dan masinnya.
Kalau sebelum ni rasa macam remehnya nak buat badak berendam ni. Tapi hasil dari cubaan semalam jom kak M sharekan TIPS untuk nak mudahkan proses nak buat kuih ni. Proses kena betul. Jadi memang jimat masa!
Tips:
- Buat kuah santan dulu sebelum masak doh dalam air. Sebabnya bila doh dah masak, senang kita boleh terus masukkan dalam santan untuk elakkan badak-badak ni melekat antara satu sama lain.
- Bila inti dah siap masak, sejukkan sekejap dan masukkan dalam freezer. Dah agak-agak sejuk dan beku sikit, keluarkan dan bulatkan inti. Bekukan semula untuk mudahkan proses masukkan inti ke dalam doh. Jadi tak melekit dan kerja menjadi cepat.
- Untuk dapatkan saiz kuih yang sama besar, bulatkan inti lebih kurang sama besar semua. So size badak kita lebih seragam.
Jom kita tengok resepinya;
Bahan Doh:
- 3 cawan tepung pulut
- 1 1/2 cawan air pandan
- Secubit garam
Bahan Inti:
- 1 1/2 cawan kelapa parut
- 1 cawan gula merah
- 1/4 cawan air
- 1 sudu makan gula
- 1 sudu makan tepung gandum
- 1 helai daun pandan
Bahan Kuah Santan:
- 2 cawan santan pekat
- 1 cawan air
- 2 sudu makan tepung beras
- 2 helai daun pandan
- Garam secukupnya
Bahan Lain: Air secukupnya untuk merebus doh.
Cara Membuat:
Step 1 – Buat Inti;
1. Masak gula merah dengan air sehingga larut. Tapis. Masak semula gula merah yang dah tapis tadi dengan gula pasir, garam, daun pandan hingga gula pasir larut.
2. Masukkan kelapa parut. Kacau sampai kering. Bila tolak sedikit inti dengan senduk, nampak berbuih kat dasar kuali, maksudnya inti dah nak kering. Boleh masukkan tepung gandum untuk jadikan inti lebih kental. Tutup api. Siap.
3. Boleh masukkan inti dalam freezer untuk sejukkan inti.
Step 2 – Buat Kuah Santan;
4. Masukkan semua bahan dan kacau rata dulu sebelum diletakkan atas api sederhana. Masakkan hingga mulai pekat dan wangi.Jangan lupa perasakan dengan garam secukup rasa.
Step 3 – Buat Doh;
5. Satukan bahan doh dan air pandan mesti tuang sikit demi sikit sambil uli hingga adunan menjadi doh, ketepikan sekejap.
Step 4 – Langkah akhir;
6. Ok! bila semua dah siap dibuat, bolehlah didih air panas dalam periuk sambil kita buat kuih badak ni.
7. Bulatkan doh dan masukkan inti kelapa. Tutup balik dengan kemas. Terus masukkan ke dalam air yang mendidih. Biarkan masak. Bila dah terapung, itu maknanya dah masak la tu.
8. Angkat dan toskan kuih badak berendam. Lepas tu boleh terus masukkan dalam kuah santan yang kita dah siapkan tadi.

Resepi Oleh: Marina Ismail


