Blog

8 Khasiat Herba Tradisional Melayu

8-khasiat-herba-tradisional-melayu

8 Khasiat Herba Tradisional Melayu

1. Buah pala buang angin dan kurangkan tekanan darah tinggi.

Buah pala atau nama saintifiknya Myristica fragrans Linn sering digunakan sebagai ubatan tradisional. Buahnya boleh dibuat jeruk manakala pucuknya dijadikan ulam dan dimakan bersama nasi. Buah pala baik untuk membantu mengubati penyakit tekanan darah tinggi serta mengeluarkan angin dari dalam perut.

2. Minyak kayu putih penyembuh kulit

Kayu putih atau nama saintifiknya melaleuca cajuputi powell mempunyai pelbagai khasiat daripada minyaknya. Selain mengeluarkan bau wangi, minyak kayu putih membantu menyembuhkan penyakit kulit dengan khasiat vitamin E. Ia mengurangkan sakit sendi, menenangkan fikiran dan menghilangkan parut atau ‘stretch mark‘ pada badan.

3. Lengkuas lancarkan peredaran darah

Lengkuas atau dikenali dengan nama Alpinia Galanga mengandungi bahan antioksida semulajadi yang membantu meminimumkan kerosakan disebabkan radikal bebas dan racun lain di dalam tubuh. Selain itu, lengkuas mampu meningkatkan peredaran darah di dalam tubuh. Peredaran darah yang lancar akan mengekalkan jantung sihat.

Ingin mencegah mabuk laut dan mual? Kunyah beberapa hiris lengkuas segar dan rasa mual akan hilang dengan cepat. Masalah kulit juga dapat dipulihkan dengan lengkuas. Masalah seperti panau dan ekzema mampu diatasi kerana leng­kuas mengandungi bahan kimia semula jadi yang mampu menghapus bakteria pada permukaan kulit.

4. Limau purut untuk kecantikan kulit dan rambut

Limau purut atau nama saintifiknya Citrushystrix ini tidak kurang hebatnya dan sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat kita. Ia mengandungi asid sitrik semulajadi yang membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Limau purut dapat membantu merawat kulit kepala, luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta mengurangkan masalah kelemumur. Ambil sebiji buah limau purut, belah dua dan sental pada permukaan kulit kepala. Selepas disental, biarkan selama 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih.

5. Serai untuk melangsingkan tubuh

Serai atau nama saintifiknya Cymbopogon citratus selalu digunakan dalam masakan seharian dan juga dalam pembuatan minyak wangi. Bahan antibakteria serta elemen detoksifikasi yang terkandung di dalam serai boleh membantu menurunkan berat badan dan membuang lemak. Kajian University Gurion di Israel mendapati 100 gram serai yang mengandungi bahan antikoksidan membantu mengelak kanser.

6. Buang angin dengan halia

Cuba Resepi Ni:  Khasiat dan Kebaikan Cengkih

Halia telah digunakan sebagai bahan penambah rasa di dalam makanan sejak zaman-berzaman. Ia biasanya bermanfaat untuk mengurangkan masalah tidak hadam, angin di dalam perut serta memperbaiki saluran usus.

Kajian saintifik mendapati halia mengandungi sifat-sifat teraputik yang menghalang pembengkakan dan kesan antioksidan. Halia sering digunakan untuk melegakan rasa loya, masalah sukar penghadaman, artritis dan membantu melancarkan peredaran darah.

Halia juga mempunyai keupayaan untuk melegakan masalah kekejangan perut. Juga, hasil kajian dari University of Michigan Medical School mendapati bahawa akar halia baik untuk mengurangkan simptom kanser kolon serta membantu menurunkan kadar penyerapan kolesterol di dalam hati dan darah selain mengurangkan sakit kepala atau migrain.

7. Daun pudina untuk kebaikan luaran dan dalaman

Pudina atau nama saintifiknya Mentha Pipenta dikenali mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan terutama daunnya. Dengan sifat antiseptik, antiparasit dan antivirus. Daun pudina baik untuk mengurangkan masalah ketidakhadaman, sakit kepala, jerawat, masalah mulut, asma, masalah haid wanita dan mengurangkan masalah kemurungan. Tidak hairanlah apabila pudina banyak digunakan dalam ubat gigi, ubat batuk dan ubat kumur untuk penjagaan harian.

8. Sembuhkan batuk dan sakit gigi dengan cengkih

Manfaat cengkih untuk kesihatan telah terkenal sejak berzaman lagi. Bagi kaum cina, cengkih digunakan untuk menghilang­kan nafas berbau dan bagi pengamal perubatan Ayurveda pula sering menggunakan cengkih sebagai teh. Ia baik untuk mengurang­kan masalah sakit gigi dan gusi.

Cuba letakkan dua batang cengkih ke dalam mulut anda. Biarkan cengkih lembut dan gigit perlahan-lahan untuk melepaskan kandungan minyak di dalamnya. Seterusnya, gerakkan cengkih ke bahagian gigi yang sakit dan biarkan selama 30 minit. Minyak cengkih ini berfungsi untuk melawan bakteria.

herba-tradisional